Perpustakaan Tun Abdul Razak Alam Bina UiTM Shah Alam telah menganjurkan program bual bicara secara langsung bertajuk “Banjir dan Penyakit: Aplikasi Teknologi Penderiaan Jauh (Remote Sensing) dan Inovasi Pemetaan Geospatial” di bawah segmen Bicara Tokoh. Program ini telah dikendalikan oleh Pn. Nurul Farihah Sarmin Panut, Pustakawan Kanan, selaku moderator bersama dengan panel jemputan daripada Pensyarah Kanan, FSPU UiTM Shah Alam iaitu  Gs. Dr. Abdul Rauf Abdul Rasam, dan Prof. Madya Dr. Nor Aizam Adnan. Panel bersama juga adalah Dr. Faridah Kusnin yang merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sesi perkongsian ilmu ini dimulakan dengan penerangan maksud penderiaan jauh atau Remote Sensing (RS) oleh Dr. Nor Aizam Adnan; iaitu salah satu teknik bagi mendapatkan data permukaan bumi tanpa menyentuh objek di permukaan bumi. Beliau turut menerangkan proses-proses mendapatkan data melalui kaedah penderiaan jauh tersebut dan jenis remote sensor yang digunakan. Seterusnya, Gs. Dr. Abdul Rauf Abdul Rasam berkongsi maklumat mengenai inovasi pemetaan Geospatial. Menurut beliau, peta yang berkesan atau inovatif mampu memberi idea dan gambaran yang sebenar seperti apa yang berlaku di permukaan bumi sekaligus membantu pihak berwajib dalam membuat keputusan dengan lebih baik. Di samping itu, beliau turut menjelaskan hubung kait fungsi Geospatial pemetaan, termasuklah pemetaan RS dalam persekitaran dan penyakit atau kesihatan. Pendekatan Spatial Epidemiologi sebagai contoh mampu membantu KKM dalam membuat ramalan bagi kejadian atau situasi penyakit.

Dr. Faridah Kusnin dalam perkongsian beliau menjelaskan serba sedikit mengenai perbezaan di antara pasukan kesihatan awam dan pasukan perubatan. Pasukan kesihatan awam bertanggungjawab dalam membuat penilaian risiko dan pemantauan persekitaran semasa bencana banjir. Selain itu, beliau juga berkongsi mengenai risiko-risiko penyakit yang terjadi semasa banjir yang disebarkan melalui udara, sentuhan dan sebagainya. Kejadian lemas, renjatan elektrik dan masalah psikologi seperti trauma turut mengancam keselamatan mangsa-mangsa banjir perlulah dipertimbangkan bersama dalam membuat keputusan. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada penonton khasnya warga UiTM untuk memahami peranan aplikasi teknologi geospatial, RS, GIS dan GPS dalam mengendalikan isu bencana alam dan wabak penyakit.

Program ini telah mendapat sebanyak 3,512 tontonan dan siaran ulangan boleh dilihat di pautan:

 

Youtube Perpustakaan UiTM Channel: 

https://www.youtube.com/watch?v=gt7qLztCSgA


FB Perpustakaan UiTM:

https://www.facebook.com/409911212624/posts/10159503030817625/












Like and follow us:


Post a Comment

Terbaru Lebih lama