Majlis Pelancaran Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi dan Menandatangani  Memorandum Persefahaman antara 20 Universiti Awam telah diadakan di Dewan Zaaba, Kementerian Pengajian Tinggi pada 1 April 2021. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Turut Hadir bagi menandatangani MoU ialah YBhg. Prof Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM dan disaksikan oleh YBrs. Ketua Pustakawan UiTM, Ts Noor Hidayat bin Adnan.

Menurut YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, rangkaian sumber maklumat tempatan yang dibangunkan oleh Perpustakaan UA di Malaysia kini menjadi hab mengumpul, memelihara dan menawarkan akses kepada sumber maklumat ilmiah mengenai Malaysia dan terbitan dihasilkan oleh penyelidik serta karyawan. Hab maklumat ilmiah Malaysia ini memperkayakan rangkaian sumber maklumat ilmiah global yang dibangunkan oleh IPT di seluruh dunia. Sehingga Disember 2020, terdapat 25 sistem repositori digital yang dibangunkan oleh Perpustakaan Akademik di Malaysia telah disenaraikan dalam pelantar Directory of Open Access Repositories (OpenDOAR) yang berpangkalan di United Kingdom.

Melangkah ke hadapan, Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi sewajarnya disebar luas manfaatnya bukan sahaja kepada keseluruhan warga pendidikan tinggi, malahan kepada masyarakat Malaysia keseluruhannya. Beliau yakin bahawa hala tuju Konsortium ini akan berfokus kepada inisiatif membangunkan prasarana digital ilmiah sehenti yang menjadi rujukan rakyat Malaysia dan komuniti global. Beliau juga berharap agar Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi ini dapat meneruskan agenda bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan tinggi dalam aspek penyediaan sumber khazanah ilmu kepada warga pendidikan tinggi dan juga masyarakat.





Post a Comment

Terbaru Lebih lama