25 Rabiulakhir 1446H | 28 Oktober 2024
Alhamdullilah, Ketua Pustakawan meraikan sahabat dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara hari ini iaitu saudara Radzi bin Omar (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Puan Zubariah Abdullah (Pengarah Dokumentasi dan Penerbitan), Puan Nur Amalina Rosli dan saudara Muhamad Amer Sibaweh ke rumah ilmu ini. Mereka hadir sempena Lestari Budaya : Budaya Kita Masa Depan Kita sempena Simposium Mek Mulung 2024 di Dewan Seri Budiman.
Mengiringi mereka ke Koleksi Khas Jawi dan usaha perpustakaan membangunkan Repositori Persuratan Jawi untuk dirujuk serta disebarkan ilmunya. Perbincangan dan pertukaran ilmu yang bermakna berkenaan seni budaya, sastera dan karya agung bersama pakar dalam bidang ini yang akan memanfaatkan fungsi perpustakaan sebagai rumah ilmu yang berkualiti.
Rezeki juga diberi penerangan penggunaan naskhah istimewa koleksi perpustakaan yang dilengkapi teknologi AR iaitu Mek Mulung: Bangkitnya Warisan Turun Temurun dan Keindahan Kain Tenun Songket Malaysia. Menariknya hasil kajian dan dokumentasi oleh JKKN telah dibukukan di dalam naskhah ini sebagai usaha memelihara Mek Mulung sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Perlu Dilindungi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Sedikit maklumat berkenaan naskhah ini. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia telah memilih judul buku terbitan JKKN iaitu Keindahan Kain Tenun Songket Malaysia (The Beauty of Malaysian Songket) oleh Prof. Norwani Md. Nawawi dan buku Mek Mulung Bangkitnya Warisan turun-Temurun (A Heritage Rediscovered) oleh Dr. Nur Izzati Jamalludin disenaraikan dalam penerbitan katalog 50 Best Malaysian Titles for International Rights 2022/2023. (Sumber : Laman web rasmi JKKN)
Syukur, naskhah peringkat negara ini berada di perpustakaan untuk dirujuk oleh warga universiti dan komuniti.
Catat Ulasan