SHAH ALAM, 13 Oktober 2026 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima kunjungan delegasi daripada Markas Pemerintahan Pendidikan, Latihan dan Doktrin Angkatan Tentera Malaysia (MPPLD ATM) bagi sesi lawatan penandaarasan yang memfokuskan perkongsian kepakaran, inovasi dan amalan terbaik dalam pengurusan serta perkhidmatan perpustakaan.
Delegasi yang diketuai oleh Kolonel Nizam bin Haji Che Ani TUDM, bersama pegawai dan staf Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), disambut oleh Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, serta barisan pengurusan PTAR.
Sesi taklimat dan perkongsian yang disampaikan oleh Ketua Pustakawan UiTM mengetengahkan pelbagai amalan terbaik, pencapaian strategik serta pandangan mengenai inisiatif pendigitalan, pembangunan repositori, pembudayaan ilmu dan inovasi perkhidmatan perpustakaan, termasuk penerapan kecerdasan buatan (AI) menerusi ekosistem PERMATA.
Lawatan ini turut membuka ruang untuk pertukaran pandangan dan penerokaan potensi kolaborasi strategik, khususnya dalam pembangunan sumber digital, pengurusan maklumat serta perkongsian kepakaran antara kedua-dua institusi.
Daripada perkongsian ilmu kepada kolaborasi berimpak, PTAR komited memperluas jaringan strategik bagi memperkukuh kecemerlangan perkhidmatan perpustakaan dan memperkasa budaya ilmu merentas institusi.
Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa.
Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1JnPYdehEj/

Catat Ulasan