SHAH ALAM, 15 Oktober 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menganjurkan Majlis Perasmian Dekad Bahasa Kebangsaan 2026 Peringkat UiTM pada 16 Oktober 2026 (Jumaat), bertempat di Auditorium, Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam, bermula jam 8.00 pagi hingga 10.30 pagi.
Majlis perasmian tersebut akan disempurnakan oleh YBrs. Prof. Dr. Amer Shakir bin Zainol, Penolong Naib Canselor Pemerkasaan Adiwangsa, UiTM.
Penganjuran sambutan ini merupakan antara usaha memperkukuh penghayatan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan lambang jati diri bangsa. Dalam mendepani perkembangan teknologi dan arus globalisasi, pemartabatan bahasa Melayu perlu terus diperkasa agar kekal relevan sebagai wahana pendidikan, penyelidikan dan komunikasi ilmiah.
Program ini dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Shah Alam dengan kerjasama Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) UiTM, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah.
Perpustakaan Tun Abdul Razak sebagai rakan kerjasama penganjuran turut mendukung usaha memartabatkan bahasa kebangsaan melalui peranannya sebagai pusat rujukan ilmu, pemeliharaan khazanah persuratan Melayu dan penyebaran sumber maklumat akademik.
Kerjasama strategik antara institusi ini diharapkan dapat memperkukuh budaya ilmu serta meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap tanggungjawab memelihara dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai warisan negara.
Seluruh warga UiTM dijemput menghadiri majlis ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha berterusan universiti dalam memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu, Bahasa Ilmu, Bahasa Perpaduan dan Cerminan Bangsa.

Catat Ulasan