Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM telah menganjurkan program bual bicara secara langsung bertajuk “Bicara Industri: Pengurusan Kewangan Islam” pada 13 Oktober 2020 oleh YBhg. Tuan Zamree Mohamed, Ketua Perbankan Pengguna, Bank Islam Malaysia Berhad. Program ini telah dikendalikan oleh YBrs. Dr Azreen Binti Roslan, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM, selaku moderator program Live@PTAR.
Perkongsian topik pada sesi bual bicara kali ini memberi fokus kepada pengurusan kewangan Islam antaranya merangkumi perbezaan pengurusan kewangan Islam dan konvensional begitu juga saranan kepada golongan muda dalam membuat perancangan kewangan.
"Cara terbaik pengurusan kewangan golongan muda ialah dengan menyimpan minimum 10% atau lebih bergantung kepada pendapatan yang diperoleh, selain merangka bajet dan memantau perbelanjaan”. Kata beliau yang berbesar hati berkongsi pelbagai bentuk pengurusan kewangan bagi golongan orang muda yang baru memulakan pekerjaan.
Selain itu, panel jemputan turut menekankan kepentingan insuran takaful perlindungan. “Data menunjukkan 85% rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan takaful dan kesedaran dalam kalangan masyarakat masih lagi kurang,” kata beliau seterusnya menyeru golongan muda begitu juga pasangan yang baru berkahwin untuk mengambil perlindungan bagi kegunaan masa hadapan.
Menjawab soalan YBrs. Dr Azreen Binti Roslan, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM selaku moderator mengenai wasiat, beliau menekankan pelbagai manfaat pengambilan wasiat diantaranya akan mempercepatkan urusan pengurusan harta serta mampu mengurangkan pertikaian antara ahli keluarga yang terlibat.
Program bicara industri ini melibatkan peserta daripada warga UiTM dan orang awam, serta dimeriahkan lagi dengan aktiviti cabutan bertuah tajaan Bank Islam.
Like and follow us:
Catat Ulasan