Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam dengan kerjasama Pejabat Program Pra Pengajian Tinggi telah menganjurkan program bual bicara secara langsung bertajuk “Taklimat Program Pra Pengajian Tinggi UiTM” di bawah segmen Bicara Tokoh. Program ini telah dikendalikan oleh Puan Siti Salwa A.Rahman, Pustakawan Kanan, selaku moderator bersama dengan panel jemputan, Profesor Madya Dr. Aini Jaapar, Pengarah Pejabat Program Pra Pengajian Tinggi UiTM Shah Alam. Pengisian program ini dimulakan dengan penerangan mengenai latar belakang dan sejarah penubuhan Program Pra Pendidikan Tinggi Universiti Teknologi MARA. Program ini adalah merupakan program berbentuk tanggungjawab sosial UiTM (Corporate Social Responsibility) yang dipertanggungjawabkan kepada UiTM untuk membantu serta memajukan pelajar Melayu dan Bumiputera menguasai ilmu pengetahuan.

Program PPT ini juga merupakan program di mana pelajar Melayu, Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak yang gagal untuk mendapat tempat di universiti kerana merit tidak mencukupi, peningkatan kos pengajian yang tinggi dan kegagalan dalam persaingan mendapatkan tempat pengajian di IPT. UiTM menawarkan program berdasarkan kelayakan pelajar sama ada ke program Pra Perdagangan atau Pra Sains. Sepanjang program ini juga, para pelajar akan diberi pengisian akademik, pembinaan peribadi dan kerohanian serta pembangunan modal insan. Profesor Madya Dr Aini Jaapar juga berkongsi langkah-langkah untuk menyertai program ini. Menurutnya, para pelajar akan menjalani tempoh satu semester pengajian sebelum berpeluang melanjutkan pengajian Diploma UiTM dengan syarat-syarat tertentu. Pelajar akan dikecualikan daripada yuran pengajian serta yuran kolej kediaman. Elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian turut diberikan bagi membantu pelajar yang layak menerima bantuan. Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi Pejabat Program Pra Pengajian Tinggi UiTM Shah Alam dengan melayari laman sesawang http://pppt.uitm.edu.my/.






Siaran ulangan program boleh dilihat di pautan:


YouTube Channel Perpustakaan UiTM:

https://www.youtube.com/watch?v=97rPaS-o3zM


Facebook Perpustakaan UiTM:

https://www.facebook.com/409911212624/posts/10159400760792625/

 


Like and follow us:

Post a Comment

Terbaru Lebih lama