Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam dengan kerjasama Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) UiTM Shah Alam telah menganjurkan program bual bicara secara langsung di bawah segmen Bicara Pakar dengan tajuk "Institusi Beraja Lambang Kedaulatan Negara". Program ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Yunus Abu Samah, felo di KIRRM selaku moderator bersama panel jemputan, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz, Penyandang, Kursi Raja-Raja Melayu UiTM Shah Alam. Sesi perkongsian ilmu pada kali ini dimulakan dengan perkongsian oleh panel jemputan mengenai makna istilah daulat dan negara berdaulat. Daulat merupakan kuasa pentadbiran yang esklusif untuk menguasai sesuatu kawasan manakala kedaulatan menunjukkan negara mempunyai hak untuk menentukan sendiri bagaimana negara itu ditadbir. Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz juga turut menjelaskan bagaimana Institusi Beraja boleh menjadi lambang kedaulatan negara. Menurutnya, Institusi Beraja merupakan sebuah institusi penting yang menjadi identiti kepada negara. Malah, hubungan antara raja dan negara tidak boleh dinafikan kerana kedaulatan negara adalah merupakan kewujudan dan kedaulatan Institusi Beraja itu sendiri. Di samping itu, penonton turut didedahkan dengan tugas-tugas raja berpelembagaan. Raja bukanlah semata-mata lambang, tetapi mempunyai kuasa dalam penggubalan undang-undang yang berkaitan dengan Institusi Beraja. Begitu juga dengan penentuan keadaan apabila sistem demokrasi negara menemui jalan buntu untuk membuat sebarang tindakan. Menurut Prof. Datuk Dr Shamrahayu lagi, Institusi Beraja merupakan institusi kepada seluruh rakyat Malaysia dan tidak memberi fokus kepada bangsa Melayu sahaja. Di bawah pancuran keadilan, Yang Dipertuan Agong (YDPA) atau institusi raja-raja di peringkat negeri hendaklah melakukan keadilan ke atas semua rakyat Malaysia. Sistem beraja ini adalah amat penting bagi warganegara Malaysia untuk kesepaduan, perpaduan, keadilan dan menjaga kedudukan perlembagaan itu sendiri. Semoga perkongsian pada kali ini dapat memberi manfaat seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada warga UiTM.

 





Program ini telah mendapat sebanyak 2,986 tontonan dan siaran ulangan boleh dilihat di pautan:

Youtube Perpustakaan UiTM Channel:

https://www.youtube.com/watch?v=QliOREtaQEU

FB Perpustakaan UiTM:

https://www.facebook.com/409911212624/posts/10159559432152625/


Like and follow us:

Post a Comment

Terbaru Lebih lama