Imbasan Program Sharing Session AKNC 2021 mengimbau perkongsian oleh salah seorang panel undangan iaitu Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), En. Jamalludin bin Haji Sulaiman. Beliau bukan sahaja berkongsi mengenai pembudayaan AKNC di PTAR, namun turut juga berkongsi mengenai cabaran yang dilalui dan best practices yang diamalkan oleh warga PTAR. Sepanjang penglibatan PTAR dalam AKNC, bermula 2006 hingga 2019, PTAR telah menjadi juara Kategori Bahagian sebanyak empat kali dan juara keseluruhan sebanyak tiga kali.

Pembudayaan AKNC di PTAR
Menyentuh pembudayaan AKNC di PTAR, En. Jamalludin memaklumkan terdapat beberapa elemen penting yang diamalkan iaitu komitmen pengurusan PTAR, menyusun strategi awal dengan cukup persediaan, mengamalkan budaya kecemerlangan dan melibatkan semua pustakawan profesional. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa sejak awal penyertaan, pihak pengurusan PTAR sentiasa menganggap AKNC sebagai satu agenda yang penting dan pada awal setiap tahun, Ketua Pustakawan akan memberikan ‘bayangan’ tentang penyertaan AKNC pada tahun seterusnya bertujuan memberikan semangat dan motivasi kepada warga PTAR.

Cabaran-cabaran dalam penulisan laporan AKNC
Bagi pihak PTAR, cabaran utama yang dihadapi ialah menentukan skop dan bidang tumpuan yang memberi impak kepada Jabatan. Isu ini ditangani dengan membuat perbincangan, analisa dan penerangan bagi mencari skop dan bidang tumpuan penting yang boleh memaparkan apa dan siapa PTAR. Seterusnya, cabaran dalam menghasilkan laporan yang mantap. En. Jamalludin menerangkan para penulis menghadapi cabaran menulis laporan terhad mengikut batasan mukasurat yang telah ditetapkan. Selain itu, beliau memberitahu, cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan laporan AKNC ialah pemerolehan data dan bukti sokongan, penentuan terma-terma kepustakawanan dan terjemahan yang jelas, memahami rubrik penilaian, aspek ketelitian laporan dan penghasilan laporan yang padat dan menarik.

Best Practices Dalam Penulisan AKNC
En. Jamalludin turut berkongsi beberapa best practices yang dipraktikkan oleh pihak PTAR bagi memastikan kelancaran penulisan laporan AKNC. Antaranya ialah membangunkan Executive Information System (EIS) Version 3 bagi mengatasi masalah mendapatkan data dan statistik. Sistem pengurusan statistik ini telah dibangunkan secara in-house bagi mengumpulkan data yang boleh dipercayai dan memudahkan proses penulisan laporan AKNC. Seterusnya, pembangunan perpustakaan digital bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dapat diteruskan sepanjang masa.

Sementara itu, perancangan strategik juga merupakan antara best practices PTAR yang mana penekanan bertumpukan teras strategik UiTM dan juga penjagaan kualiti kecemerlangan global prestasi berorientasikan nilai-nilai yang ditetapkan oleh UiTM. Best practices seterusnya ialah komitmen PTAR dalam penyertaan AKNC dengan menampilkan kumpulan yang dinamik dan memantapkan tenaga-tenaga baharu agar sama-sama bergiat dan meneruskan semangat AKNC ini. En. Jamalludin juga memaklumkan pembudayaan inovasi dan kreativiti merupakan best practice yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak 2008 hinggalah kini. Pihak PTAR telah seringkali mengikuti pelbagai program dan pembentangan inovasi dan kreativiti di dalam dan juga luar negara, antaranya, Geneva dan Manila.

Harapan
Kejayaan yang diraih tidak pernah dianggap sebagai titik noktah untuk berhenti belajar. En. Jamalludin mewakili PTAR beranggapan pembelajaran berterusan haruslah diamalkan, bukan sahaja demi AKNC, namun dalam pelbagai bidang mahupun arena yang lain. Beliau berharap agar AKNC dapat diteruskan sebagai medium penting dalam menyerlahkan kecemerlangan PTJ, umumnya dan PTAR, khasnya.


Sumber : UiTM News Hub

Post a Comment

Terbaru Lebih lama