Program “Jom Baca Bersama 10 Minit” anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM), berlangsung penuh semangat hari ini bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2025. Bertempat di Ruang Bicara PTAR, program yang disertai seramai 42 orang staf dan pelajar ini mengangkat kepentingan pembudayaan membaca dalam kalangan warga UiTM sebagai asas kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan negara berdaya saing.
Program Jom Baca Bersama 10 Minit turut disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, En. Ahamad Zuber Mohamed yang menyampaikan taklimat berkaitan inisiatif “Knowledge Society”. Beliau menyeru seluruh warga UiTM agar menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian dengan menetapkan sasaran minimum 24 bahan bacaan setahun.
Menurut beliau, bacaan tersebut boleh terdiri daripada pelbagai format termasuk buku fizikal, e-buku, artikel jurnal atau artikel majalah yang boleh direkodkan menerusi portal PERMATA, selaras dengan usaha mendigitalisasi pembudayaan ilmu dan memudahkan pemantauan capaian bahan bacaan berkualiti.
En. Ahamad Zuber Mohamed turut menegaskan bahawa perpustakaan memainkan peranan penting bukan hanya sebagai pusat pengumpulan ilmu, tetapi juga sebagai pemangkin dalam memperkasa ekosistem literasi intelektual.
“Perpustakaan UiTM sentiasa komited memperkukuh budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat melalui pelbagai inisiatif seperti program Speed Reading, Literasi Maklumat, Bicara Tokoh, serta usaha memperkasa koleksi Jawi dan memartabatkan Koleksi Agung,” ujar beliau.
Tambah beliau, segala usaha ini diselaraskan dengan pelan strategik perpustakaan yang berteraskan tagline “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa”, yang menterjemah aspirasi keilmuan kepada tindakan holistik.
Program turut disemarakkan dengan sesi resensi buku oleh Cik Ummi Halimatunssaadiyya Shamsul Yuzli, yang memperkenalkan serta mengulas kandungan dan mesej utama karya pilihan, sekali gus memberi inspirasi kepada peserta untuk meneroka lebih banyak bahan bacaan.
Program ini juga telah dijalankan serentak di seluruh Perpustakaan Cawangan dan Perpustakaan Fakulti.
#MalaysiaMembaca #UiTMMembaca #KnowledgeSociety #PTARUiTM #MembacaMakananJiwa
Disediakan Oleh : Mohd Ismail Abidin, Ketua Unit Perkhidmatan Perpustakaan
Catat Ulasan