Dua kumpulan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari UiTM mencatat kejayaan membanggakan apabila masing-masing meraih Anugerah Penarafan Emas di dua konvensyen berprestij peringkat kebangsaan dan universiti.
Kumpulan C-LITE dari UiTM Cawangan Melaka berjaya mengungguli Konvensyen Innovative and Creative Circle (ICC) / KIK Malaysia 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 25 hingga 26 November 2025 di Bangi Resort Hotel, Selangor. Pencapaian ini sekali lagi membuktikan kemampuan pasukan KIK UiTM untuk bersaing di pentas nasional melalui solusi inovasi yang berimpak kepada pelanggan dan organisasi.
Sementara itu, kumpulan LUMINOUS daripada Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah turut mengukir pencapaian cemerlang apabila menerima Anugerah Penarafan Emas dalam Konvensyen Inovatif & Kreatif (KIK) UiTM 2025 yang berlangsung pada 25 hingga 27 November 2025 di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.
Menurut Ketua Pustakawan UiTM, pencapaian ini selaras dengan usaha berterusan UiTM memperkasa budaya inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah secara sistematik dalam kalangan warga kerja. “Kejayaan C-LITE dan LUMINOUS membuktikan bahawa inovasi bukan hanya menyelesaikan cabaran operasi, tetapi menjadi pemangkin transformasi perkhidmatan dan pengalaman pelanggan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua ahli kumpulan yang telah menunjukkan komitmen tinggi serta kesungguhan menghasilkan projek yang memberi nilai tambah kepada perkhidmatan universiti.
Kejayaan ini dijangka menjadi pendorong kepada lebih banyak penyertaan dan inovasi baharu dalam kalangan KIK di seluruh rangkaian UiTM, seiring agenda UiTM untuk memperkukuh kualiti perkhidmatan dan pembangunan modal insan yang kreatif serta berdaya saing.

Baca lanjut : https://www.facebook.com/share/p/19vnYt7Kcd/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama