Shah Alam, 15 Disember 2025 – Bahagian Sumber Rujukan Universiti, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM telah menganjurkan Taklimat Penyerahan Tesis dan Disertasi Menggunakan Borang Baharu Penyerahan Harta Intelek UiTM ke Repositori Institusi UiTM bagi memberi pendedahan berhubung penambahbaikan proses penyerahan tesis dan disertasi secara dalam talian kepada wakil fakulti dan PTj.
Taklimat ini bertujuan menjelaskan perubahan proses penghantaran dan penerimaan tesis serta disertasi secara digital, khususnya penggunaan Borang Baharu Penyerahan Harta Intelek UiTM, selaras dengan keperluan pematuhan dasar dan garis panduan terkini universiti. Program ini telah dilaksanakan secara fizikal dan dalam talian, bertempat di Pusat IT, PTAR UiTM Shah Alam, dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Encik Bahroni Moojee, Ketua Unit Sumber Bercetak, Bahagian Sumber Rujukan Universiti, dan Puan Nor Hafizah binti Md Hanafiah, Ketua Unit Pengurusan Sistem Repositori, Bahagian Perpustakaan Digital. Program ini turut diserikan dengan ucapan aluan oleh Dr. Adlina Abdullah, Pengarah Bahagian Sumber Rujukan Universiti.
Seramai 42 orang peserta yang terdiri daripada wakil fakulti dan PTj telah menyertai taklimat ini secara fizikal dan atas talian, mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh tadbir urus akademik dan pengurusan harta intelek universiti.
Penganjuran taklimat ini memberi impak signifikan dalam memastikan penyeragaman proses penyerahan tesis dan disertasi di seluruh fakulti dan PTj UiTM. Melalui pemahaman yang jelas terhadap borang baharu dan aliran kerja digital, proses pendepositan ke Repositori Institusi UiTM dapat dilaksanakan dengan lebih efisien, telus dan berintegriti, sekali gus memperkukuh pemeliharaan harta intelek universiti serta meningkatkan keterlihatan hasil penyelidikan UiTM di peringkat nasional dan antarabangsa. Inisiatif ini juga menyokong aspirasi UiTM ke arah pendigitalan perkhidmatan akademik dan pemantapan ekosistem ilmu berasaskan teknologi.
Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1ATyDABeaA/


Catat Ulasan