Bengkel Penyuntingan Naskhah Jurnal UiTM telah berjaya dilaksanakan hari ini dengan penyertaan seramai 45 orang penyunting serta seorang ketua penyunting daripada pelbagai jurnal UiTM. Bengkel ini berperanan sebagai wadah perkongsian ilmu dan pemantapan amalan terbaik dalam penyuntingan serta penerbitan jurnal akademik.

Salah satu pengisian bengkel ialah sesi taklimat bertajuk “Repositori Data Penyelidikan UiTM” yang telah disampaikan oleh wakil Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam iaitu Puan Eza Eliana A. Wahid (Ketua Unit Literasi Maklumat), Puan Zuhaslinda Sulaiman, Nik Zatihulwani Jamaludin dan Encik Mohd Izwan Salim (Ketua Unit Pembelajaran Digital). Sesi ini menekankan kepentingan pengurusan dan perkongsian data penyelidikan secara sistematik sebagai sokongan kepada ekosistem penyelidikan dan penerbitan berkualiti tinggi.

Bengkel ini telah berlangsung di Dewan al-Ghazali, Bangunan Wawasan, UiTM Shah Alam dan dianjurkan oleh Unit Etika dan Penerbitan, Pusat Penyelidikan UiTM (RMC), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UiTM Shah Alam, dengan kerjasama Persatuan Editor Malaysia serta Penerbit UiTM.

Penganjuran bengkel ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman komuniti editor UiTM terhadap peranan Repositori Data Penyelidikan UiTM (https://data.uitm.edu.my/) dalam menyokong amalan penyelidikan yang telus, mampan dan berimpak tinggi.

Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/14b4oEsK7DM/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama