Shah Alam, 11 Februari 2026 – Jabatan Perpustakaan UiTM telah menganjurkan Majlis Amanat Ketua Pustakawan UiTM 2026 bertempat di Ruang Telaah, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Shah Alam serta disiarkan secara langsung kepada seluruh rangkaian perpustakaan UiTM.
Majlis ini menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi dan warga perpustakaan bagi mendengar amanat serta hala tuju strategik tahun 2026 yang disampaikan oleh Ts Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM.
Tema amanat tahun ini, “Perpustakaan Pemacu Khazanah Ilmu Masa Hadapan”, menegaskan peranan perpustakaan sebagai pemacu transformasi digital, pembudayaan ilmu dan tadbir urus berintegriti selaras dengan aspirasi UiTM 2030.
Dalam amanatnya, Ketua Pustakawan menegaskan bahawa tahun 2026 merupakan fasa penting dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai institusi ilmu yang berintegriti, mampan dan relevan.
Beliau menyatakan:
“Tahun 2026 bukan sekadar lembaran masa yang baharu, tetapi satu titik penting untuk kita memperkukuh peranan perpustakaan sebagai institusi ilmu yang berintegriti, mampan dan relevan.”
Sejajar dengan mandat universiti dan fokus Kementerian Pendidikan Tinggi, sembilan fokus utama telah digariskan bagi tahun 2026, iaitu:
1. Digitalisasi Perpustakaan
2. Pembudayaan Ilmu
3. Kecemerlangan Bakat
4. Jaringan Komuniti
5. Sumber Rujukan Berfokus
6. Arkib dan Galeri
7. Tadbir Urus Tangkas dan Telus
8. Kelestarian Kewangan
9. Kesejahteraan Organisasi
Antara inisiatif strategik yang akan diperkasakan termasuk pemerkasaan RFID UHF, peluasan platform pembelajaran digital AKASA, pelaksanaan Repository Dokumen Universiti (RDU), pembangunan sistem ILIPRO berasaskan analitik kecerdasan buatan serta penjanaan pendapatan alternatif bagi menyokong kelestarian kewangan.
Ketua Pustakawan turut menegaskan bahawa kecemerlangan perpustakaan bukan sahaja diukur melalui data dan angka, tetapi melalui keupayaan memberi inspirasi, menyemai budaya membaca serta memasyarakatkan khazanah ilmu universiti. Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1CSE4wWWLn/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama