UiTM Shah Alam, 21–22 April 2026 – Dalam usaha memperkukuh ekosistem maklumat digital universiti, Unit Pengurusan Repositori Institusi, Bahagian Perpustakaan Digital, Jabatan Perpustakaan UiTM telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Struktur Data Sumber Digital UiTM selama dua hari di Makmal Komputer 2, PTAR UiTM Shah Alam.
Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada staf pengurusan dan profesional serta staf pelaksana Perpustakaan UiTM Malaysia telah menyertai bengkel ini dengan penuh komitmen, selari dengan aspirasi memperkasa pengurusan repositori institusi ke tahap yang lebih sistematik, berkualiti dan berimpak tinggi.
Bengkel ini memberi fokus kepada penyelarasan struktur data repositori serta pematuhan kepada piawaian dan garis panduan global. Antara pengisian utama termasuk latihan amali pengurusan metadata seperti semakan Digital Object Identifier (DOI), pemantapan taksonomi Library of Congress Subject Headings (LCSH) dan National Library of Medicine (NLM), serta pelaksanaan Dasar Akses Terbuka (Open Access) bagi meningkatkan keterlihatan dan kebolehcapaian sumber digital UiTM.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai sesi teori dan praktikal yang merangkumi pengurusan sistem PERMATA (Thesis Submission dan Full Text Request), pengurusan bahan teks penuh serta kertas soalan peperiksaan (EQPS), projek semakan metadata DOI jurnal UiTM dan sesi penentuan subjek bahan repositori. Perbincangan turut memfokuskan kepada cabaran teknikal serta pendekatan penyelesaian secara kolaboratif bagi meningkatkan kecekapan sistem sedia ada.
Ketua Pustakawan PTAR, Ts. Hj Azizi bin Hj Jantan, dalam ucapannya menegaskan bahawa kualiti metadata merupakan elemen kritikal dalam memastikan kebolehcapaian dan keterlihatan bahan ilmiah di peringkat global. Menurut beliau, metadata yang tepat, konsisten dan berpiawaian tinggi akan memberi impak signifikan terhadap pengindeksan bahan, seterusnya menyumbang kepada pencapaian KPI High Impact Digital Resources (HIDR) serta memperkukuh kedudukan UiTM dalam ranking antarabangsa.
Melalui pendekatan praktikal dan kolaboratif, bengkel ini membuktikan komitmen berterusan PTAR dalam memperkasa pengurusan repositori institusi ke arah penghasilan sumber digital yang bukan sahaja berkualiti, malah berdaya saing di pentas global.
Memperkasa metadata, memperluas capaian ilmu, dan memacu keterlihatan global UiTM.
Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1EXQQ8Tw1m/

Catat Ulasan