Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik
dan memperluas promosi perkhidmatan perpustakaan, Perpustakaan Tun Abdul Razak
(PTAR) telah menganjurkan sesi Meet & Greet bersama Fakulti Muzik,
Universiti Teknologi MARA (UiTM). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada
pendekatan proaktif PTAR dalam memupuk sinergi bersama fakulti dalam memperkasa
budaya ilmu serta menyemarakkan amalan membaca dalam kalangan warga universiti.
Program yang berlangsung pada 24 Jun 2025
ini telah diselaras oleh Unit Perkhidmatan Pelanggan, dengan penglibatan enam (6)
orang pegawai yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, En. Ahamad Zuber. Kehadiran Prof. Dr. Tazul
Izan Tajuddin, Dekan Fakulti Muzik, bersama barisan pengurusan tertinggi
fakulti menyerlahkan komitmen terhadap kerjasama rentas jabatan dalam ekosistem
universiti.
Antara pengisian utama program ini
termasuk pembentangan mengenai perkhidmatan PTAR, kemudahan akses maklumat, dan
sokongan penyelidikan yang ditawarkan kepada warga fakulti. Turut dikongsikan
ialah pelaksanaan Program Galakan Membaca "1 Warga, 24 Naskah Bahan
Bacaan" yang menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Universiti PI145 –
Knowledge Society.
Beberapa maklumbalas dan cadangan
kerjasama telah dikemukakan sepanjang 2 jam sesi meet and greet dan antaranya
adalah :
·
Membuka peluang hak cipta
(copyright) skor muzik untuk pendigitalan melalui inisiatif repositori.
·
Pembangunan
bahan skor muzik yang diselaraskan dengan skor sebenar yang digunakan pensyarah
semasa pengajaran.
·
Penyumbangan
skor muzik asli oleh pensyarah untuk didigitalkan dan diarkibkan.
·
Pembangunan repositori berfasa
dengan tumpuan awal terhadap bahan berceraian (loose leaf).
·
Cadangan bahan bacaan untuk
disediakan oleh perpustakaan daripada pelajar pascasiswazah.
·
Bengkel
berbayar bagi membantu pelajar pascasiswazah
·
Pewujudan
koleksi khas (special archive) berkaitan muzik untuk simpanan jangka panjang.
·
Integrasi maklumat dengan
perisian pengurus rujukan (reference manager software).
·
Penyediaan
senarai rujukan tesis atau FYP pelajar Fakulti Muzik.
·
Cadangan
pengisian Fakulti Muzik dalam pangkalan data Memori UiTM yang kini masih belum
direkodkan.
“Saya berharap segala cadangan yang telah
dikemukakan dapat direalisasikan dan tidak terhenti setakat pertemuan ini
sahaja. Khususnya, saya amat menghargai inisiatif PTAR dalam usaha pemuliharaan
bahan muzik seperti skor dan koleksi berkaitan, serta cadangan pembangunan
repositori khusus yang bakal memberi manfaat besar kepada seluruh warga Fakulti
Muzik,” ujar Prof. Dr. Tazul Izan
Menariknya, sesi turut mencetuskan idea
baharu apabila En. Ahamad Zuber mencadangkan agar lagu khas mengenai budaya
membaca digubah oleh fakulti, dan perkara ini disambut positif oleh pihak
dekan. Gubahan lagu tersebut dijangka akan dikemukakan dalam masa terdekat
sebagai salah satu inisiatif pemerkasaan budaya ilmu.
Sesi Meet & Greet ini diakhiri dengan simbolik penyerahan warkah Budaya Membaca UiTM oleh Ketua Pustakawan UiTM kepada pihak Fakulti Muzik sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan Inisiatif Galakan Membaca "1 Warga, 24 Naskah". Simbolik ini mencerminkan komitmen berterusan PTAR dalam memperkukuh budaya membaca dan menjalin kolaborasi bermakna bersama fakulti dalam membina masyarakat kampus yang berilmu dan berbudaya ilmu..
Catat Ulasan