Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam berbesar hati menerima kunjungan tokoh penceramah motivasi terkenal negara, Tuan Syamsul Amri Ismail, atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat (SD), pada hari ini. Kehadiran beliau disambut secara mesra oleh Ketua Pustakawan UiTM, bersama-sama warga perpustakaan.
Apa yang lebih membanggakan, beliau merupakan alumni Fakulti Undang-Undang UiTM, graduan tahun 2000. Kunjungan ini bukan sahaja mencerminkan penghargaan beliau terhadap institusi ilmu yang pernah mendidiknya, bahkan turut memperkukuh hubungan strategik antara alumni dan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan sejarah universiti.
Dalam lawatan penuh makna ini, beliau turut berkesempatan menelusuri kembali sejarah akademiknya apabila diserahkan semula Fail Peribadi Pelajar beliau oleh Puan Siti Salwa A. Rahma, Pustakawan dari Bahagian Arkib Universiti (BARU). Detik tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap memori akademik dan rekod yang diurus secara sistematik oleh perpustakaan sebagai penjaga warisan institusi.
Selain itu, Ketua Pustakawan turut membawa beliau meninjau Sudut Koleksi Khas Jawi di Aras 4 PTAR, yang menampilkan pelbagai bahan bercetak warisan Melayu-Islam. Koleksi ini menjadi salah satu inisiatif PTAR dalam memperkasa budaya ilmu dan memperkukuh identiti keilmuan bangsa melalui pengumpulan, pemuliharaan dan akses kepada sumber warisan.
Kunjungan ini memperlihatkan peranan perpustakaan bukan sekadar sebagai tempat penyimpanan bahan bacaan, tetapi sebagai “rumah ilmu” yang menghubungkan tradisi keilmuan dengan generasi semasa dan akan datang. Ia juga mencerminkan kesungguhan PTAR dalam menjayakan agenda UiTM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berteraskan warisan dan inovasi.
Semoga pertemuan ini terus menyemarakkan aspirasi budaya ilmu di UiTM dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus serta alumni untuk terus menghargai dan menyumbang kepada institusi ilmu yang tercinta.
Catat Ulasan