30 April 2026 (Khamis) – Dalam usaha memperkasa budaya ilmu dan meningkatkan kecekapan penguasaan maklumat dalam kalangan warga kerja, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Bengkel Bacaan Pantas: Baca Cepat Fikir Tepat!” yang berlangsung dengan penuh interaktif dan bertenaga.
Bengkel yang menghimpunkan seramai 40 orang kakitangan PNM ini nyata membuka dimensi baharu terhadap kaedah pembacaan moden yang lebih sistematik, pantas dan efektif. Para peserta dilihat begitu teruja dan aktif sepanjang sesi berlangsung apabila didedahkan dengan pelbagai teknik yang mampu membantu meningkatkan kadar pembacaan tanpa menjejaskan kefahaman terhadap bahan yang dibaca.
Program ini menampilkan Puan Azura Mohamad Hashim, Timbalan Ketua Pustakawan sebagai penceramah utama yang berkongsi pengalaman, pendekatan serta teknik bacaan pantas yang praktikal untuk diaplikasikan dalam tugasan harian dan pembelajaran sepanjang hayat. Turut sama menjayakan bengkel ialah Encik Mohd Ismail Abidin, Timbalan Ketua Pustakawan selaku fasilitator yang membantu melancarkan sesi latihan dan aktiviti praktikal peserta.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah diberikan pendedahan kepada teknik asas bacaan pantas serta tiga teknik tambahan yang boleh digabungkan bagi meningkatkan fokus, ketepatan pemahaman dan keupayaan menganalisis bahan bacaan dengan lebih efisien. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mempercepatkan proses pembacaan, malah turut melatih minda untuk berfikir secara lebih tersusun dan kritikal.
Dalam era ledakan maklumat dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) masa kini, kemahiran membaca secara strategik menjadi satu kelebihan penting kepada penjawat awam, pendidik, pustakawan dan masyarakat umum. Bacaan pantas bukan sekadar membaca laju, tetapi merupakan seni menguasai maklumat dengan lebih bijak, tepat dan bermakna.
Penganjuran bengkel ini juga mencerminkan komitmen berterusan PNM dalam menyemarakkan budaya membaca, memperkukuh literasi maklumat dan membangunkan modal insan berpengetahuan tinggi selaras dengan aspirasi negara menuju masyarakat berilmu.
Tahniah dan syabas kepada seluruh urus setia serta peserta yang telah menjayakan bengkel ini dengan penuh semangat dan komitmen. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan serta disebarluaskan demi memperkukuh ekosistem pembacaan dan pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia.
“Kuasai teknik bacaan pantas yang tepat untuk menguasai dunia ilmu.”
Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/17Ymzpa4BM/

Catat Ulasan