11 Zulkaedah 1447H | 29 April 2026, Jemputan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA sebagai rakan strategik perpustakaan universiti sempena Karnival Ko Akademik, Pusat Sumber, STEM dan DELIMa di Kolej Vokasional Klang membuktikan peranan PTAR semakin melangkaui fungsi perpustakaan akademik universiti. PTAR kini terus bergerak ke hadapan sebagai rakan ilmu yang aktif menyantuni komuniti pendidikan, memperkasa literasi dan membawa pengalaman pembelajaran universiti lebih dekat kepada generasi muda.
Melalui reruai PTAR, dua aktiviti interaktif utama telah mencuri perhatian pengunjung, iaitu Speed Reading Challenge bagi aktiviti Bacaan Pantas dan Jawi Challenge bagi segmen Koleksi Khas Jawi.
Speed Reading Challenge menguji kepantasan bacaan, fokus dan kefahaman peserta dalam tempoh masa yang ditetapkan. Aktiviti ini bukan sahaja mencabar minda, malah memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik membaca secara lebih cekap, berkesan dan menyeronokkan.
Sementara itu, Jawi Challenge pula menguji keupayaan peserta membaca tulisan Jawi melalui pendekatan santai dan interaktif. Aktiviti ini menjadi ruang untuk memperkenalkan semula tulisan Jawi sebagai khazanah persuratan, warisan budaya dan identiti ilmu yang perlu terus dipelihara oleh generasi hari ini.
Penyertaan PTAR dalam karnival ini mencerminkan komitmen perpustakaan universiti untuk terus turun padang, membina jaringan strategik bersama institusi pendidikan dan menjadikan ilmu sebagai jambatan yang menghubungkan universiti dengan komuniti.
Dari bacaan pantas hingga warisan Jawi, PTAR hadir membawa cabaran ilmu yang segar, dekat dan berimpak kepada generasi muda.
Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1CNc8vfZSG/

Catat Ulasan