Hari kedua Bengkel Pematapan Repositori Bahan Digital Universiti (MyTheses) diteruskan dengan pengisian ilmiah yang padat dan berfokus kepada amalan terbaik dalam pengurusan repositori tesis sebagai aset strategik universiti.
Sesi dimulakan dengan taklimat bertajuk “Repositori Tesis sebagai Aset Strategik: Amalan Terbaik ke Arah Ketampakan dan Akses Terbuka” yang disampaikan oleh penceramah jemputan, YBrs. Prof. Dr. Haswira Nor Mohamad Hashim, Pengarah Business Innovation & Technology Commercialization Centre (BITCOM), UiTM. Perkongsian ini memberi penekanan kepada kepentingan keterlihatan penyelidikan serta pemanfaatan repositori sebagai pemacu inovasi dan pengkomersialan ilmu.
Program diteruskan dengan pembentangan kajian amalan repositori universiti luar negara, diikuti sesi perkongsian amalan terbaik oleh universiti awam termasuk USIM, IIUM dan UPSI. Para peserta turut didedahkan kepada pengendalian projek MyTheses serta bengkel penetapan metadata repositori digital yang memperkukuh aspek pengkatalogan dan pengurusan data secara sistematik.
Sebagai tanda penghargaan, cenderamata telah disampaikan oleh Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan kepada YBrs. Prof. Dr. Haswira Nor Mohamad Hashim atas sumbangan beliau dalam menjayakan sesi perkongsian ilmu tersebut.
Penganjuran hari kedua ini jelas memperlihatkan komitmen berterusan dalam memperkasa pengurusan repositori digital universiti ke arah lebih berimpak, berdaya saing dan selari dengan aspirasi akses terbuka global.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama