Mengangkat Warisan Pendidikan Awal Bumiputera untuk Generasi Masa Hadapan

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pemeliharaan ilmu, warisan dan sejarah institusi menerusi penerimaan sebuah penerbitan bersejarah bertajuk “Perjalanan Dato’ Muda Linggi Haji Mohamad Basri”.

Penerbitan istimewa ini telah diserahkan oleh waris beliau, Tuan Azizol Mohamad Basri, kepada PTAR UiTM Shah Alam sebagai satu usaha murni dalam memastikan sejarah perjuangan pendidikan generasi terdahulu terus dipelihara dan diwariskan kepada masyarakat serta warga UiTM.

Naskhah tersebut merakamkan perjalanan kehidupan Dato’ Muda Linggi Haji Mohamad Basri yang merupakan antara kumpulan pelajar terawal pra-penubuhan Dewan Latehan RIDA sekitar tahun 1955 hingga 1957. Lebih bermakna, beliau juga merupakan antara lulusan terawal tajaan RIDA yang berjaya memperoleh London Chamber of Commerce Higher Certificate, satu pencapaian besar dalam landskap pendidikan Melayu pada era tersebut.

Majlis penyerahan penerbitan bersejarah ini telah diterima oleh Puan Aznur Umiza Abu Kassim, Pengarah Bahagian Pengurusan Perpustakaan, mewakili YBrs. Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM.

Sumbangan ini bukan sekadar sebuah penerbitan, malah menjadi simbol penting kesinambungan sejarah perjuangan pendidikan Bumiputera yang menjadi asas kepada penubuhan UiTM hari ini. Ia turut memperlihatkan bagaimana institusi perpustakaan berperanan sebagai penjaga memori institusi dan pusat rujukan khazanah ilmu negara.

Dalam era transformasi digital dan kecerdasan buatan masa kini, bahan-bahan seperti ini mempunyai nilai yang amat tinggi untuk tujuan penyelidikan, dokumentasi sejarah, pemeliharaan warisan serta pembangunan identiti institusi. PTAR UiTM sentiasa komited dalam usaha mengumpul, memulihara dan memperkasa koleksi khas serta bahan arkib yang mempunyai nilai sejarah kepada universiti dan negara.

Perpustakaan UiTM turut mengalu-alukan sumbangan bahan-bahan berkaitan sejarah UiTM, RIDA, ITM serta rekod-rekod bernilai tinggi daripada alumni, waris dan masyarakat bagi memastikan warisan intelektual ini terus lestari untuk tatapan generasi akan datang.

Setiap naskhah lama menyimpan sebuah perjuangan. Setiap rekod sejarah membina sebuah peradaban.

Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1Dmy5JWWGg/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama