27 Julai 2026 | Shah Alam – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Program Kepimpinan Perpustakaan UiTM Siri 8 bertajuk "Kefahaman Akta 173 (Akta Universiti Teknologi MARA 1976)" yang disampaikan oleh Profesor Dr. Hartini binti Saripan, Penasihat Undang-Undang UiTM.

Program ini memberi pendedahan kepada warga perpustakaan mengenai peranan Akta 173 sebagai asas tadbir urus universiti serta tanggungjawab setiap warga UiTM dalam memastikan setiap keputusan dan tindakan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam perkongsiannya, Prof. Dr. Hartini menegaskan bahawa isu perundangan bukan hanya bermula di mahkamah, tetapi bermula daripada setiap keputusan operasi harian, termasuk pengurusan data, kontrak, hak cipta, sumbangan, pendigitalan koleksi dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Beliau turut mengingatkan bahawa:

  • Akta 173 merupakan "DNA" dan identiti Universiti Teknologi MARA.
  • Setiap warga UiTM ialah pemimpin dalam kapasiti masing-masing dan bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.
  • Rekod yang lengkap merupakan bukti penting bagi melindungi universiti dan pegawai dalam melaksanakan amanah.
  • Akses kepada maklumat tidak bermaksud kuasa untuk mendedahkan maklumat kepada pihak lain.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa pemahaman terhadap undang-undang merupakan elemen penting dalam membentuk budaya kerja yang berintegriti, berdisiplin dan berakauntabiliti di Jabatan Perpustakaan.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan kepimpinan warga perpustakaan dalam memperkukuh tadbir urus, pematuhan undang-undang dan kecemerlangan perkhidmatan selaras dengan aspirasi UiTM sebagai universiti unggul negara.

Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1EqzFwDTmW/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama