Hampir lima dekad berlalu, namun kenangan sebagai mahasiswa tetap segar dalam ingatan.

Sembilan orang Alumni Diploma Pentadbiran Awam ITM Ambilan Julai 1974 – Julai 1977 kembali menjejakkan kaki ke kampus UiTM Shah Alam menerusi Program Sireh Pulang ke Gagang, anjuran bersama Jabatan Perpustakaan UiTM dan Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM.

Kegembiraan dan keterujaan jelas terpancar apabila mereka kembali ke kampus yang ditinggalkan sekitar 50 tahun lalu ketika institusi ini masih dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM). Kepulangan tersebut bukan sekadar lawatan, tetapi sebuah perjalanan menyusuri memori, mengenang persahabatan dan mengimbau pengalaman yang pernah mencorakkan kehidupan mereka.

Para alumni turut melahirkan rasa terharu atas sambutan mesra serta layanan penuh penghargaan yang diberikan oleh pihak UiTM. Walaupun landskap kampus telah banyak berubah, ikatan mereka dengan universiti tercinta kekal utuh selaras dengan semangat “Sahabat Sejati, Kenangan Abadi.”

Program ini turut menyaksikan penyerahan buku Pasir Mas: Memories and Experiences serta fail dan rekod alumni kepada Perpustakaan Tun Abdul Razak untuk dipelihara sebagai sebahagian daripada khazanah sejarah institusi.

Buku setebal 565 halaman tersebut menghimpunkan memoir, sejarah dan pengalaman hidup masyarakat Pasir Mas menerusi perspektif lebih 60 orang anak jati daerah berkenaan. Naskhah ini merakam perkembangan sosiobudaya, warisan sejarah serta tokoh tempatan yang telah membentuk identiti Pasir Mas untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Penyerahan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Salmah Hayati binti Ghazali selaku wakil alumni, diiringi Encik Salman bin Ahmad, penulis buku Pasir Mas: Memories and Experiences. Bahan bersejarah tersebut diterima oleh Encik Ahmad Amiri bin Mohamad, Pengarah Bahagian Arkib Universiti, bagi pihak Perpustakaan Tun Abdul Razak.

Program turut diserikan dengan simbolik penyampaian cenderamata oleh pihak ICAN, yang diwakili oleh Ts. Dr. Fatimah Zaharah Ali serta taklimat dan pendaftaran eAlumni sebagai usaha memperkukuh hubungan berterusan antara alumni dengan universiti.

Sembilan orang alumni yang kembali menyemarakkan pertemuan penuh nostalgia ini ialah:

  1. YBhg. Datuk Salmah Hayati Ghazali
  2. Encik Salman bin Ahmad
  3. Encik Mohd Sharid Salleh
  4. Puan Norharjah Kamaruddin
  5. Puan Siti Aishah Yahaya
  6. Puan Maimon Rahman
  7. Puan Nor Hasnah Hassan
  8. Puan Ramlah Jaafar
  9. Puan Norhayati Ahmad

Program ini membuktikan bahawa masa boleh mengubah wajah sebuah kampus, namun tidak akan memadamkan kenangan, persahabatan dan rasa cinta terhadap institusi yang pernah menjadi tempat menimba ilmu.

Sireh pulang ke gagang, alumni kembali membawa kenangan untuk dirakam, dipelihara dan diwariskan.

Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional

Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa


Post a Comment

Terbaru Lebih lama