SHAH ALAM, 30 Julai — Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Bahagian Arkib Universiti menganjurkan Program Kepimpinan Perpustakaan Siri 7 berserta Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat UiTM di sini, hari ini.

Majlis gabungan berkenaan dianjurkan bagi menghimpunkan warga universiti dalam platform perkongsian ilmu, pembentukan kepimpinan, serta pemeliharaan khazanah warisan dan rekod penting institusi.

Ketua Pustakawan UiTM, Tuan Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan dalam ucapannya memaklumkan bahawa Siri Kepimpinan Perpustakaan UiTM telah dilaksanakan sebanyak enam siri sejak 2025. Program yang diadakan secara fizikal dan dalam talian itu bertujuan memperkukuh pembangunan kerjaya serta pemikiran strategik pustakawan UiTM di seluruh Malaysia demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan ke peringkat global.

Mengenai Sambutan Hari Arkib Antarabangsa yang disambut pada 9 Jun setiap tahun, beliau menegaskan kepentingan arkib sebagai aset strategik dalam memelihara memori dan identiti organisasi. Sambutan tahun ini menyaksikan penyertaan aktif daripada 14 lokasi arkib cawangan UiTM menerusi pelaksanaan 86 aktiviti sepanjang program berlangsung.

Sesi ceramah utama bagi Kepimpinan Perpustakaan Siri 7 disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin. Beliau menyampaikan syarahan bertajuk "High-Impact Leadership: Spearheading University Excellence Through Faith, Integrity, and Innovation – A Blueprint for the Future of Academic Leadership".

Dalam pengisiannya, beliau menekankan strategi kepimpinan berimpak tinggi, pembudayaan integriti, serta pemerkasaan inovasi bagi membina ekosistem akademik universiti yang mampan di peringkat antarabangsa.

Majlis penutupan berkenaan turut diserikan dengan acara penyampaian anugerah oleh Naib Canselor kepada para pemenang pertandingan sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026 Peringkat UiTM.

Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1DStqQCgLm/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama