6 Ogos 2026 | 22 Safar 1448H
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperluas kerjasama strategik menerusi sesi perbincangan rasmi bersama Jabatan Standard Malaysia (JSM) bagi meneroka potensi integrasi piawaian standard, pengurusan ilmu dan pembangunan kandungan berimpak.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mengintegrasikan Malaysian Standard (MS) dalam silibus program akademik, khususnya dalam bidang teknikal seperti kejuruteraan, sains komputer dan alam bina. Inisiatif ini diyakini dapat meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap keperluan piawaian industri, seterusnya melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia memenuhi tuntutan dunia pekerjaan.
PTAR dan JSM turut meneroka pelaksanaan MS ISO 11799, iaitu piawaian berkaitan keperluan penyimpanan bahan arkib dan perpustakaan. Usaha ini berpotensi memperkukuh amalan pengurusan, pemeliharaan dan penyimpanan koleksi serta meletakkan PTAR sebagai institusi rujukan dalam pematuhan piawaian berkenaan.
Selain itu, kedua-dua pihak membincangkan peluang kerjasama dalam penghasilan kandungan informasi ringkas dan program podcast melalui kemudahan studio PTAR. Kandungan ini akan menjadi medium penyampaian maklumat yang lebih kreatif, mudah difahami dan dekat dengan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan piawaian dalam kehidupan seharian.
Dalam rangka kunjungan tersebut, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, turut dibawa melawat ke Perpustakaan Jabatan Standard Malaysia bagi meninjau koleksi piawaian serta strategi pengurusan maklumat yang dilaksanakan oleh JSM.
Kolaborasi ini mencerminkan komitmen PTAR UiTM dan JSM dalam memperkasa ekosistem ilmu, membudayakan pematuhan piawaian serta menyokong kecemerlangan akademik dan profesional di institusi pengajian tinggi.
Semoga jalinan strategik ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak demi pembangunan ilmu, kualiti dan inovasi negara.
Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1BccrGLzsU/

Catat Ulasan