SHAH ALAM, 16 Oktober 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menganjurkan Syarahan Umum Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat UiTM Tahun 2026 bertemakan “Bahasa Kita, Wajah Kita” sebagai usaha menyemarakkan penghayatan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan warga universiti.

Program yang dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober 2026 (Jumaat), jam 10.30 pagi di Auditorium Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam ini akan menampilkan YBrs. Prof. Dr. Salinah Ja’afar dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya sebagai penceramah jemputan.

Penganjuran syarahan umum ini menjadi platform perkongsian ilmu bagi memperkukuh kesedaran tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana komunikasi, penyebaran ilmu, pembinaan jati diri dan pemeliharaan warisan budaya bangsa.

Program ini merupakan hasil kerjasama Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) UiTM, Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah.

Penglibatan Perpustakaan Tun Abdul Razak dalam penganjuran ini turut mencerminkan komitmen perpustakaan akademik sebagai pusat penyebaran ilmu, pemeliharaan khazanah persuratan Melayu serta pemerkasaan budaya ilmu dalam komuniti universiti.

Seluruh warga UiTM dijemput menghadiri program ini bagi bersama-sama menghayati peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, identiti kebangsaan dan warisan yang perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama