SHAH ALAM, 1 Oktober 2026 – Keprihatinan dan semangat kekeluargaan terus menjadi nilai penting dalam membentuk budaya kerja yang harmoni dan penyayang di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Menerusi inisiatif Ziarah Kasih@PTAR, satu lawatan kebajikan telah diadakan bagi menziarahi pelajar latihan industri yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Lawatan yang berlangsung di Seksyen 17, Shah Alam ini bertujuan untuk menyantuni dan memberikan sokongan moral kepada Saudari Nur Nadiana Nadia Majid, pelajar Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan, Fakulti Sains Maklumat, UiTM Kampus Puncak Perdana, yang sedang menjalani latihan industri di PTAR.
Kunjungan tersebut disertai oleh lima orang warga PTAR, iaitu:
- Aznur Umiza binti Abu Kasim @ Kassim
- Siti Aishah binti Sadan
- Asmah binti Sabtu
- Nurul Hafiza binti Busra
- Nor Shafiqah Alia binti Amran
Ziarah Kasih@PTAR bukan sekadar kunjungan kebajikan, malah mencerminkan keprihatinan dan hubungan erat antara warga perpustakaan dengan pelajar latihan industri yang menjadi sebahagian daripada komuniti PTAR.
Inisiatif ini turut memperlihatkan bahawa peranan perpustakaan tidak hanya tertumpu kepada penyediaan sumber maklumat, sokongan akademik dan pembangunan ilmu, tetapi juga merangkumi pembudayaan nilai kemanusiaan, empati serta tanggungjawab sosial dalam kalangan warganya.
Melalui kunjungan ini, warga PTAR berharap agar kehadiran dan sokongan yang diberikan dapat menyuntik semangat kepada Saudari Nur Nadiana Nadia Majid untuk terus tabah menghadapi ujian serta menjalani proses pemulihan dengan baik.
Seluruh warga Perpustakaan UiTM turut mendoakan agar beliau dikurniakan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan dan diberikan kekuatan untuk kembali meneruskan pengajian serta latihan industri seperti biasa.
Semoga inisiatif Ziarah Kasih@PTAR terus menjadi wadah penyatuan warga perpustakaan melalui budaya cakna, saling menyantuni dan semangat kekeluargaan yang berterusan.

Catat Ulasan