28 September 2022 (Rabu) – Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) kerana pada hari ini, satu majlis menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) antara Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Majlis ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Aras 4, Blok E3, Kompleks E, Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya.

Dalam majlis ini, wakil pengurusan dari PTAR terdiri daripada Ketua Pustakawan UiTM iaitu Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman, Ts. Hj. Azizi bin Hj. Jantan, Ketua Timbalan Pustakawan dan Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli, Timbalan Ketua Pustakawan. Manakala, wakil dari BKRP pula dihadiri oleh Encik Yusri bin Yusof, Ketua Seksyen Penguatkuasaan yang mewakili pengarah BKRP serta barisan ketua-ketua seksyen di KKM bagi menyaksikan majlis yang bersejarah ini.

Encik Yusri bin Yusof, Ketua Seksyen Penguatkuasaan memberikan ucapan.

Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa bagi melancarkan majlis dan saudari pengerusi majlis dan mengalu-alukan kedatangan pihak BKRP dan PTAR dalam majlis tersebut. Seterusnya, majlis menjemput Encik Yusri bin Yusof bagi memberikan ucapan dan antara intipati ucapan tersebut, beliau berterima kasih di atas perkongian kepakaran dan amalan terbaik dalam pembangunan dan pengetahuan digital serta pengurusan dokumen di PTAR semasa mengadakan lawatan kerja ke perpustakaan sebanyak 2 kali pada tahun 2019 dan 2022. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pustakawan Kanan, Tn. Hj. Ahmad Faizar bin Jaafar dan Encik Mohd Izwan bin Salim yang telah memberikan taklimat dan hands-on di sebelah pagi mengenai sistem yang digunapakai bagi pengurusan dan penyimpanan dokumen dan rekod dalam bentuk digital yang mana, ia merupakan projek inovasi BKRP.

Encik Jamalludin Hj. Sulaiman, Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Hj. Azizi bin Hj. Jantan (Ketua Timbalan Pustakawan) dan Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli (Timbalan Ketua Pustakawan).

Selesai ucapan dari Encik Yusri bin Yusof, majlis diteruskan dengan ucapan dari Ketua Pustakawan UiTM, Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman. Antara ucapan beliau adalah mengenai perpustakaan yang amat mengalu-alukan jalinan kerjasama seperti ini sama ada di dalam dan di luar negara kerana PTAR perlu seiiring dengan misi dan visi universiti di mana ingin menjadikan Universiti Teknologi MARA bertaraf dunia menjelang tahun 2025. Ketampakan atau visibility memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat ini. Di samping itu, beliau juga berkongsi kejayaan inovasi PTAR yang telah berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa serta pencapaian Jabatan Arkib Universiti, UiTM terutama dalam penyimpanan dan pengurusan dokumen dan rekod penting serta pembangunan sistem dengan menggunakan kepakaran dalaman.

Selesai kedua-dua ucapan tersebut, tetamu dipertontonkan dengan montaj yang telah disediakan oleh BKRP dengan memaparkan gambar-gambar lawatan penandaarasan ke PTAR serta sistem yang digunapakai bagi tujuan pengurusan rekod dan dokumen yang lebih sistematik.


Selepas itu, acara yang ditunggu-tunggu iaitu acara menandatangani surat hasrat yang telah disaksikan kira-kira 20 orang hadirin yang hadir dari pihak BKRP dan PTAR. Surat hasrat yang ditandatangani bertujuan menjalin kerjasama strategik melalui:
  1. Projek pembangunan Pusat Pengurusan Pengetahuan Digital (Digital Knowledge Centre);
  2. Perkongsian pintar dalam pengurusan inovasi
  3. Projek pembangunan Sistem Pengurusan Rekod dan Arkib
 


Sesi bergambar dan bertukar cenderamata juga diadakan sebagai tanda penghargaan dari kedua-dua pihak serta disusuli dengan sesi bergambar beramai-ramai di luar bilik mesyuarat sebagai kenangan.


Diharap agar jalinan kerjasama ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dan mencapai objektif yang disasarkan serta memberi pelbagai impak yang positif bagi menyokong program transformasi digital.

Majlis ini tamat pada jam 4.40 petang dan diakhiri dengan jamuan minum petang yang telah disediakan oleh BKRP.

Sekian, terima kasih.

#uitm

#uitmdihatiku

#libraryforall

Post a Comment

Terbaru Lebih lama