Alhamdulillah, pada 19 Oktober 2022 (Rabu), PTAR telah berkunjung ke SK Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang, Selangor bagi penyerahan buku-buku sumbangan kepada pusat sumber sekolah. Ini merupakan program khidmat masyarakat PTAR yang telah pun dijalankan bermula pada bulan Januari 2022. Selepas lawatan tapak dibuat, pada bulan Julai 2022, bermulalah aktiviti gotong royong membersih, memasang dan menyusun buku di rak baharu di pusat sumber sekolah.
PTAR telah dibawa melawat bilik tayangan yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 50 orang pelajar dan guru. Satu lagi tarikan baharu yang telah diusahakan oleh pihak sekolah adalah Bilik Green Screen, dimana ruangan ini digunakan untuk menjalankan sesi siaran langsung dan temubual. Sesi tersebut boleh dilihat di pautan link ini: https://www.youtube.com/channel/UCFARKS1JxpDq1F6tfzgGEZQ .
Menariknya sesi temubual ini, pengawas pusat sumber sekolah ini dipanggil sebagai wartawan cilik, dimana mereka sendiri akan mengendalikan sesi ini dengan bantuan guru-guru di sana. Terima kasih diucapkan kepada tiga wartawan cilik Tahun 5 yang sangat berbakat iaitu Nur Irdina Hasya binti Mohd Azlan, Nur Syarah Insyirah binti Amiruddin dan Ummu Humairah binti Nurul Khatimi kerana telah sudi mengadakan sesi temubual dengan wakil PTAR.
Selesai sesi lawatan dan temubual, sesi penyerahan buku sumbangan diadakan dengan ucapan ringkas Guru Besar, Puan Nor Hamizah. Sejumlah 584 naskhah dari 4 penyumbang iaitu dari PTAR Kampus Puncak Alam, Arena Ilmu Sdn. Bhd., Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd. dan Areesh Education and Trading Sdn. Bhd. berjaya dikumpulkan untuk sumbangan ini. Guru Besar juga telah menyerahkan cenderamata sebagai tanda terima kasih dan kenangan kepada PTAR.
Diharap agar program ini tidak terhenti di sini. PTAR amat berbesar hati untuk berkolaborasi dalam program atau aktiviti bersama SK Sijangkang Jaya pada masa akan datang.
Catat Ulasan