Program Kerjaya Graduan anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam telah melabuhkan tirai pada 23 Februari 2023, dimana ia telah berlangsung dengan jayanya selama 3 hari bermula 21-23 Februari 2023 bertempat di PTAR, UiTM Shah Alam.

Majlis perasmian penutupan program ini telah disempurnakan oleh Professor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM. PTAR amat berbesar hati dan berterima kasih diatas kesudian Naib Canselor UiTM untuk bersama-sama menyempurnakan majlis perasmian penutupan yang diadakan pada 23 Februari 2023. PTAR amat bertuah kerana mendapat sokongan sepenuhnya dari Naib Canselor UiTM dalam program ini.



Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Pustakawan UiTM, Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman, Pengarah PERKESO Negeri Selangor, YBrs. Encik Ismail bin Abi Hashim, Presiden Majlis Belia Negeri Selangor, YB. Dato' Mohd Imran bin Tamrin dan Pengarah Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Puan Wan Noraini binti Wan Yusoff.

Dalam ucapan Naib Canselor UiTM, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada PTAR dan PERKESO Negeri Selangor kerana telah berjaya mengadakan program ini. Selain ia membuka peluang meningkatkan kerjaya para graduan, ia juga telah memberikan manfaat kepada komuniti terutama di sekitar Shah Alam bagi mengisi peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak industri. Beliau juga menyokong sepenuhnya program ini kerana ia berkait rapat dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021 hingga 2025 yang menyokong kepada penglibatan universiti, industri dan komuniti.

Ketua Pustakawan UiTM dalam ucapan aluannya turut menyatakan bahawa perpustakaan adalah sebagai satelit hub maklumat universiti yang perlu sentiasa bersedia menyalurkan maklumat-maklumat semasa kepada warga UiTM dan komuniti sekitarnya.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis perasmian penutupan program ini. Terima kasih juga diucapkan kepada semua para tetamu jemputan serta pihak media yang bersama-sama menjayakan majlis ini.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama