Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Pemerkasaan Adiwangsa dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Shah Alam berjaya menganjurkan program Diskusi Jawi : Budaya Jawi Budaya Ilmu dan Perasmian Jawi@UiTM 2.0 oleh Prof. Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) pada 11 Julai 2024 (Khamis) di Masjid UiTM Shah Alam.

Diskusi Jawi: Budaya Jawi Budaya lImu menjemput barisan panel iaitu Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz (Timbalan Dekan Akademik dan Pelajar, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM) dan Prof. Madya Dr. Nor Azlin Hamidon (Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam) serta dimudahcara oleh Ustaz Ahmad Ammar Rozaini (Penolong Pendaftar Hal Ehwal Islam).
Ucapan Pembukaan dan Perasmian Jawi@UiTM 2.0 telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa). Beliau memohon agar usaha memartabatkan peranan tulisan jawi dalam integral pendidikan amat penting dengan meletakkan bangsa Melayu pada satu tahap yang tersendiri. Harapan beliau agar, memperkasakan tulisan jawi melalui seni dan warisan serta menjadi universiti utama yang membudayakan pembacaan dan penulisan jawi dalam kalangan warga walaupun berlainan latar belakang pengajian di UiTM.

Pelbagai aktiviti bersama rakan strategik iaitu Perpustakaan Tun Abdul Razak telah berjaya dianjurkan sepanjang tahun ini. Bagi pihak universiti, beliau mengucapkan terima kasih kerana Perpustakaan sentiasa bersama dengan Bahagian Hal Ehwal Islam dalam usaha memanfaatkan tulisan jawi agar memberi nilai kepada individu terutama warga mahasiswa.

YBhg. Prof. Dr. Amer Shakir Zainol juga menyampaikan Hadiah Pertandingan Cekap Jawi kepada pemenang kategori pelajar tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar dan Staf UiTM.

Semua jemputan juga kemudian melawat pameran Koleksi Khas Jawi oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak. Antara yang menarik perhatian tetamu jemputan adalah pembangunan Repositori Jawi serta naskhah tulisan Jawi yang sukar ditemui.  




























Post a Comment

Terbaru Lebih lama