3 Ogos 2024 (Sabtu) | 28 Muharram 1446H
Alhamdullilah, satu lagi kolaborasi dalam lipatan sejarah tahun ini melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak menganjurkan Literasi Maklumat Komuniti untuk SMKA SULTAN AZLAN SHAH, Bota, Perak.
Program eksklusif bermula 2 Ogos hingga 4 Ogos 2024 ini merupakan inisiatif memperkasa pembudayaan ilmu dan kemahiran literasi maklumat dalam kalangan komuniti sekolah disertai 37 orang Pengawas Sekolah Tingkatan 3 dan 4 serta diiringi 4 orang guru.
Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk menyuntik semangat, pendedahan awal pembudayaan ilmu peringkat universiti dan pengalaman menikmati suasana sebagai mahasiswa UiTM.
Lawatan bermula di Galeri Tun Abdul Razak yang dikendalikan oleh Puan Roszainatul Haizan Binti Rusili dan seterusnya ke pengisian utama program iaitu Asas Bacaan Pantas dikendalikan oleh Puan Siti Salwa A.Rahman dan Literasi Maklumat oleh Puan Norazlin Mohd Yusof.
Turut hadir meraikan sekolah pada hari ini, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan yang menyantuni guru-guru ke Koleksi Khas Jawi dan perkongsian ilmu berkenaan peranan perpustakaan.
Sebelah petang pula, pelajar dan guru diraikan oleh 4 orang warga akademik UiTM yang juga merupakan alumni SMKA Sultan Azlan Shah yang berkongsi memori, pengalaman dan laluan kerjaya mereka sebagai suntikan motivasi kepada para pelajar.
Hari yang sarat dengan pengisian daripada kami untuk anak-anak SMKA Sultan Azlan Shah. Esok, para pelajar akan dibawa menjejak kaki ke kolej-kolej pengajian dan lokasi tumpuan utama kampus UiTM Shah Alam untuk merasai pengalaman 𝑐𝑎𝑚𝑝𝑢𝑠 𝑙𝑖𝑓𝑒.
Semoga bermanfaat dan UiTM menjadi sebahagian dari kenangan mereka.
Terima kasih Sukarelawan Perpustakaan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA Shah Alam selaku peneraju dan sokongan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk menjayakan program ini.

#uitmdihatiku
#UiTM25Tahun
#MalaysiaMadani
#perpustakaanuitm
#PembudayaanIlmuMembentukAdiwangsa










Post a Comment

Terbaru Lebih lama