Shah Alam, 4 Julai 2025 – Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik serta memperluas promosi perkhidmatan, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah menganjurkan sesi Meet & Greet bersama Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Inisiatif ini merupakan antara pendekatan proaktif PTAR dalam membina sinergi bersama fakulti bagi memperkasa budaya ilmu dan menyemarakkan amalan membaca dalam kalangan warga kampus.

Program yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama Fakulti Alam Bina ini diselaras oleh Ketua Perpustakaan Fakulti, Puan Hanani Rojikin dan melibatkan kehadiran lapan (8) orang pegawai PTAR yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, Encik Ahamad Zuber. Turut hadir, Dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Ts. Dr. Hajah Emma Marinie Ahmad Zawawi bersama barisan pengurusan fakulti, sekali gus menyerlahkan komitmen terhadap kerjasama rentas jabatan dalam ekosistem universiti.

Antara pengisian utama sesi termasuklah pembentangan berkaitan perkhidmatan dan kemudahan PTAR, akses kepada maklumat serta sokongan penyelidikan untuk pensyarah, pelajar, dan staf sokongan. PTAR turut memaklumkan pelaksanaan Program Galakan Membaca “1 Warga, 24 Naskhah Bahan Bacaan” yang menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Universiti PI145 – Knowledge Society.

Sepanjang sesi selama dua jam ini, beberapa maklum balas dan cadangan penambahbaikan telah dikemukakan oleh pihak fakulti, antaranya:

  • Kolaborasi penyediaan ruang bacaan tambahan di kawasan Fakulti Alam Bina untuk kemudahan pelajar.

  • Bimbingan dan sokongan kepada staf pentadbiran dalam penulisan artikel menggunakan rujukan sahih melalui pangkalan data dan jurnal.

  • Usaha sama dalam pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau aktiviti bersama komuniti.

  • Penambahbaikan akses kepada pangkalan data atas talian. Pensyarah memaklumkan kesukaran mengakses tajuk berkaitan melalui PERMATA Search serta antara muka yang kurang mesra pengguna.

  • Kemaskini senarai List of Professors di laman web perpustakaan yang kini tidak dikemas kini.

  • Taklimat hands-on penggunaan Portal PERMATA bagi pendaftaran bahan bacaan di MyReading serta fungsi Self Deposit Material.

  • Pertanyaan mengenai status bahan pengajaran yang dimuat naik ke dalam sistem Self Deposit Material. Sekiranya pensyarah tidak lagi mengajar subjek berkenaan, adakah bahan tersebut akan kekal atau dipadam secara automatik?

Sebelum berakhirnya sesi, pengurusan kanan fakulti menyatakan perasaan terima kasih atas kehadiran dan kunjungan hormat delegasi PTAR ke fakulti.

“Saya berharap agar segala cadangan yang dibangkitkan dapat direalisasikan dan tidak terhenti setakat pertemuan ini sahaja. Secara peribadi, saya amat menghargai inisiatif PTAR dalam membudayakan ilmu serta perubahan positif yang akan memberi impak besar kepada seluruh warga Fakulti Alam Bina,”
Prof. Ts. Dr. Hajah Emma Marinie Ahmad Zawawi

Sesi Meet & Greet ini diakhiri dengan simbolik penyerahan Warkah Budaya Membaca UiTM oleh Ketua Pustakawan kepada pihak Fakulti Alam Bina sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan Inisiatif Galakan Membaca "1 Warga, 24 Naskhah". Simbolik ini mencerminkan komitmen berterusan PTAR dalam memperkukuh budaya membaca serta menjalin kerjasama strategik dalam membentuk komuniti kampus yang berpengetahuan dan berbudaya ilmu.

Bacaan lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1EgjpiG2rN/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama