Klang, 2 Julai 2025 – Seramai 61 orang pelajar dan 6 orang guru dari Kolej Vokasional Klang telah menyertai Program Bacaan Pantas Bersama Pelajar Tingkatan Lima yang diadakan sempena Karnival Ko-Akademik, Pusat Sumber, STEM & DELIMa. Program ini berlangsung di Pusat Sumber Al-Ilmu dan bertujuan memupuk kemahiran membaca pantas dalam kalangan pelajar serta menyemai budaya ilmu yang lebih progresif.
Program selama dua jam ini memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik membaca pantas, kepentingan membaca dengan efisien serta bagaimana ia boleh memberi kelebihan dalam pengurusan masa dan pembelajaran yang lebih efektif. Antara manfaat utama yang dikongsi ialah kebolehan membaca lebih banyak bahan dalam tempoh yang singkat, peningkatan keupayaan berfikir secara kritis, dan daya ingatan yang lebih baik.
Sesi ini telah dikendalikan oleh barisan instruktur profesional dari Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam iaitu Puan Eza Eliana Abdul Wahid, Cik Ummi Halimatussaadiya Shamsul Yuzli, dan Encik Muhamad Azrul Nizam, manakala sesi fasilitasi turut dibantu oleh Puan Nurlian Halid. Kehadiran mereka telah mencorakkan pengisian program yang interaktif dan berkesan, di mana para peserta bukan sahaja mempelajari teori, malah turut menjalani latihan amali membaca pantas secara langsung.
Turut hadir menjayakan program ini ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan PTAR, Encik Ahamad Zuber Mohamed, yang menunjukkan sokongan padu terhadap usaha memperkasa pelajar luar kampus dalam aspek literasi maklumat dan budaya ilmu.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Ederin Haji Amid, Pengarah Kolej Vokasional Klang dan Puan Noor Azizah Bajoori, Timbalan Pengarah Akademik, yang menyambut baik inisiatif ini sebagai langkah memperkukuh kecemerlangan akademik pelajar melalui strategi pembacaan yang lebih strategik.
Program ini mencerminkan peranan pustakawan sebagai agen transformasi ilmu yang proaktif dalam memperluas jangkauan pendidikan literasi maklumat. Inisiatif seperti ini tidak hanya memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, tetapi turut memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pendidikan dengan perpustakaan universiti dalam membentuk masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing.
Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1EgKrEDa1G/
Catat Ulasan