02 Julai 2025 - Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM terus melangkah proaktif dalam usaha memelihara, mendokumentasi dan memperkayakan khazanah ilmu bangsa menerusi pembangunan Koleksi Khas Jawi.
Terbaharu, PTAR menerima sumbangan berharga daripada Saudara Muhammad Sufian Abdul Manan, Penolong Pendaftar Kanan, Penerbit UiTM, berupa dua (2) naskhah karya dalam tulisan Jawi:
- Ilmu Mengarang Melayu
- Perangai Bergantung pada Diri Sendiri
Naskhah bersejarah ini telah diserahkan kepada Encik Bahroni Moojee, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP), sebagai simbolik sokongan kepada usaha pemuliharaan warisan tulisan Jawi yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan penyelidik dan penggiat ilmu.
Peranan pustakawan dalam pembangunan Koleksi Khas Jawi amat signifikan. Antara usaha utama yang digalas termasuklah:
- Menilai dan memilih bahan bernilai tinggi yang mencerminkan pemikiran, kesusasteraan dan falsafah Melayu.
- Menyusun strategi pendigitalan dan konservasi agar bahan ini kekal terpelihara untuk tatapan generasi akan datang.
- Menyediakan persekitaran penyelidikan yang kondusif dengan memperkenalkan Koleksi Khas Jawi sebagai sumber primer dalam kajian budaya, bahasa dan sejarah.
Dengan adanya sumbangan seperti ini, perpustakaan bukan sekadar menjadi gedung simpanan, tetapi juga pusat dinamik dalam memartabatkan identiti keilmuan bangsa.
Catat Ulasan