Shah
Alam, 10 Julai 2025 –
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus
memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik bersama komuniti akademik melalui
penganjuran sesi Meet & Greet bersama Fakulti Undang-Undang (FUU),
UiTM Shah Alam. Program ini bertujuan merapatkan hubungan, menyelaras sokongan
perkhidmatan maklumat, serta menyantuni keperluan penyelidikan dan pembelajaran
warga fakulti secara lebih dekat.
Sesi
tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat 2 Fakulti Undang-Undang dan
diselaraskan oleh Ketua Perpustakaan Fakulti, Puan Masnida Hanim Che Mahmood.
Delegasi PTAR seramai lima orang diketuai oleh Encik Ismail Abidin, Ketua Unit
Perkhidmatan Pelanggan PTAR, mewakili Pengarah Bahagian Perkhidmatan PTAR.
Turut hadir memberikan sokongan ialah barisan pengurusan tertinggi fakulti,
termasuk Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof. Madya Dr. Nur Ezan Rahmat;
Timbalan-Timbalan Dekan; Ketua Penasihat Undang-Undang; para pensyarah dan pentadbir
FUU.
Dalam
sesi yang berlangsung selama dua jam ini, PTAR berkesempatan membentangkan
pelbagai perkhidmatan dan inisiatif perpustakaan termasuk akses maklumat,
sokongan penyelidikan, serta promosi program “1 Warga, 24 Naskhah Bahan Bacaan”
yang menyumbang kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Universiti (PI145) – Knowledge
Society.
Beberapa
cadangan penambahbaikan turut dikemukakan oleh pihak fakulti sebagai langkah
memperkukuh perkhidmatan sedia ada:
- Cadangan
kolaborasi penggunaan ruang PTAR Undang-Undang, termasuk auditorium dan Library
Community Engagement (LCE), bagi program seminar serta aktiviti
pelajar.
- Kerjasama
penghasilan slot podcast bersama alumni FUU membincangkan isu-isu
semasa berkaitan undang-undang.
- Penambahbaikan
sistem Paper Machine dengan penambahan templat yang relevan dalam
bidang sains sosial khususnya undang-undang.
- Cadangan
agar ruang bacaan (Reading Corner) FUU sedia ada dipertingkat dari
segi koleksi dan fungsinya tidak terhad kepada penggunaan staf sahaja serta
diperluaskan juga kepada pelajar bagi memastikan penggunaan yang lebih
inklusif.
- Pengiktirafan
FUU kepada sistem PERMATA PTAR sebagai platform mesra pengguna yang
menyeluruh.
- Galakan
kepada alumni FUU untuk mendaftar sebagai ahli luar (External
Membership) demi kesinambungan akses kepada sumber perpustakaan.
Sesi
Meet & Greet ini turut menyaksikan simbolik penyerahan Warkah
Budaya Membaca UiTM mewakili Ketua Pustakawan kepada Fakulti Undang-Undang,
sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif galakan membaca di kampus. Sebagai
balasan, pihak fakulti turut menyampaikan cenderahati sebagai simbol
penghargaan dan jalinan kerjasama berterusan.
Melalui
sesi sebegini, PTAR tidak hanya memperkukuh fungsi perkhidmatan maklumat,
bahkan memperlihatkan komitmen berterusan dalam membentuk kampus berpengetahuan
serta budaya ilmu yang inklusif dan proaktif.
Catat Ulasan