5 November 2025 | PTAR Kampus Puncak Perdana

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM telah mengadakan satu Sesi Pre-Test Kajian Kepuasan Pelanggan bertempat di PTAR Kampus Puncak Perdana sebagai langkah awal dalam merangka pelaksanaan kajian menyeluruh terhadap kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan.

Sesi ini bertujuan untuk menilai kesesuaian instrumen kajian serta memastikan ketepatan soal selidik yang akan digunakan dalam kajian sebenar kelak. Bagi memperkukuh kualiti penyelidikan, PTAR telah mendapatkan kepakaran dan khidmat nasihat daripada Prof. Madya Dr. Mad Khir Johari Abdullah Sani, pensyarah kanan dari Fakulti Sains Maklumat, UiTM. 

Program ini turut dihadiri oleh En. Ahamad Zuber, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, dan En. Mohd Ismail Abidin, Timbalan Ketua Pustakawan, yang turut memberi pandangan terhadap penambahbaikan aspek metodologi serta pelaksanaan kajian di lapangan.

Menurut Ahamad Zuber, Pengarah, pelaksanaan kajian ini bukan sahaja bertujuan menilai tahap kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan, malah menjadi asas kepada usaha penambahbaikan berterusan (continuous improvement) dan pembangunan strategi perkhidmatan berimpak tinggi di seluruh rangkaian perpustakaan UiTM.

Kajian ini juga mencerminkan komitmen PTAR dalam memperkukuh kolaborasi akademik bersama Fakulti Sains Maklumat, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan perkhidmatan perpustakaan serta kajian pengguna yang berorientasikan data dan pengalaman pelanggan.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama