SHAH ALAM, 15 Januari 2026 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (Sains dan Teknologi), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama strategik Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) telah menganjurkan Program Jelajah Ilmu – Library Open Day, satu inisiatif berimpak tinggi yang memfokuskan pemerkasaan literasi maklumat, pendigitalan sumber serta sokongan penyelidikan universiti.

Program yang berlangsung di Actuarial Resource Centre, FSKM ini bertujuan memperluas kesedaran warga akademik terhadap peranan perpustakaan sebagai rakan strategik pembelajaran dan penyelidikan, selari dengan aspirasi UiTM dalam membudayakan penggunaan ilmu secara berkesan dan berteraskan teknologi.

Menurut Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, penganjuran Program Jelajah Ilmu mencerminkan pendekatan proaktif perpustakaan dalam mendekati komuniti akademik secara langsung.

“Perpustakaan UiTM bukan sekadar pusat penyimpanan ilmu, tetapi rakan strategik kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik. Melalui Program Jelajah Ilmu, perpustakaan berperanan memperkasa literasi maklumat, memudahkan akses kepada sumber digital serta menyokong ekosistem penyelidikan universiti secara menyeluruh,” katanya.

Sepanjang penganjuran, pelbagai pengisian interaktif telah disediakan termasuk reruai Bacaan Pantas dan Speed Reading Challenge sebagai antara tarikan utama program, di samping konsultasi penyelidikan, pengurusan ID profil penyelidik, sesi 1-Minute Digital Library Tips menggunakan PERMATA, pencarian sumber maklumat berasaskan kecerdasan buatan (AI), konsultasi DDMS 2.0, serta pameran arkib universiti dan koleksi khas PTAR. Program ini turut menawarkan perkhidmatan penjilidan ringkas serta laminating dan comb binding secara terus kepada pengguna.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) turut menyambut baik penganjuran program ini yang dilihat memberi nilai tambah kepada pembelajaran dan penyelidikan warga fakulti.

“Kolaborasi antara FSKM dan Perpustakaan UiTM melalui Program Jelajah Ilmu ini membuka ruang kepada pelajar dan pensyarah untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber maklumat universiti. Pendedahan kepada kemahiran pencarian maklumat, pengurusan penyelidikan dan penggunaan teknologi digital amat penting dalam melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing,” ujarnya.

Penganjuran Program Jelajah Ilmu ini mendapat sambutan positif daripada pelajar, pensyarah dan penyelidik FSKM yang memanfaatkan peluang mendapatkan bimbingan secara langsung daripada pustakawan dan koordinator PRIME. Program ini turut meningkatkan kesedaran warga fakulti terhadap kepentingan kemahiran Bacaan Pantas sebagai satu nilai tambah dalam pembelajaran dan pengurusan bahan akademik.

Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan Perpustakaan UiTM dalam memperkasa ekosistem akademik universiti melalui pendekatan inovatif dan kolaboratif, selari dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan berilmu, berdaya saing dan berfikiran global.

“Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa.”

Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1AWpJvvAA1/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama