Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan ilmu dan pemeliharaan khazanah budaya apabila menerima sumbangan dua (2) naskhah buku berprestij daripada Institute for Biodiversity and Sustainable Development (IBSD) UiTM.
Sumbangan tersebut merangkumi penerbitan penting berkaitan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Malaysia yang menghimpunkan dokumentasi, dasar serta pelan perlindungan warisan budaya negara bagi tempoh 2026–2030. Penyerahan buku telah disampaikan kepada Puan Aznur Umiza Abu Kassim, Pengarah Bahagian Pengurusan Perpustakaan, yang mewakili Ketua Pustakawan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam.
Menurut PTAR, sumbangan ini amat bernilai dalam menyokong pembangunan koleksi rujukan strategik, khususnya dalam bidang kebudayaan, warisan tidak ketara dan kelestarian ilmu. Koleksi tersebut bukan sahaja memperkaya sumber akademik, malah menjadi bahan rujukan penting untuk penyelidikan, pengajaran serta pemeliharaan memori intelektual negara.
Seiring dengan aspirasi pendigitalan dan keterbukaan akses maklumat, PTAR akan memastikan bahan ini diurus secara profesional agar dapat dimanfaatkan secara optimum oleh warga UiTM dan masyarakat umum. Perpustakaan juga komited untuk memelihara, mempromosi dan memperluas akses kepada koleksi bernilai tinggi sebagai sebahagian daripada peranannya sebagai Vibrant Centre of Learning.
PTAR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IBSD UiTM atas sumbangan berimpak ini dan pada masa yang sama mengalu-alukan sumbangan buku, bahan ilmiah serta koleksi khas daripada warga universiti, alumni dan komuniti. Kerjasama strategik sebegini diyakini mampu menyemarakkan budaya ilmu, memperkasa ekosistem pengetahuan dan memastikan khazanah intelektual terus lestari untuk generasi akan datang.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama