2 April 2026 | Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO), Brunei Darussalam

Mesyuarat Projek Kolaborasi Pendigitalan dan Pemerkasaan Manuskrip Melayu Borneo/Nusantara telah berjaya dilaksanakan di Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO), Brunei Darussalam dengan penglibatan strategik antara Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pusat Sejarah Brunei.

Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan oleh Tuan Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh, Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei yang mengetengahkan kekayaan koleksi manuskrip Brunei merangkumi bahan sejarah, budaya, agama serta pentadbiran Kesultanan Brunei yang mempunyai nilai ilmiah dan warisan yang tinggi.

Sesi seterusnya diteruskan dengan pembentangan kertas cadangan Projek Kolaborasi Pendigitalan dan Pemerkasaan Manuskrip Melayu Borneo/Nusantara oleh Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan. Pembentangan tersebut menekankan pendekatan bersepadu yang melibatkan pendigitalan manuskrip, pembangunan repositori digital serta pemindahan kepakaran antara institusi sebagai asas kepada pelaksanaan projek secara mampan.

Antara intipati utama mesyuarat adalah:

  • Mewujudkan sistem pemeliharaan dan akses digital manuskrip Melayu secara sistematik melalui pendigitalan dan pembangunan repositori;
  • Mendigitalkan manuskrip mengikut piawaian arkib dan perpustakaan digital;
  • Melaksanakan transliterasi Jawi ke Rumi serta Jawi lama ke Jawi baharu secara berfasa;
  • Memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara Malaysia dan Brunei;
  • Melaksanakan pemindahan kepakaran dalam pengurusan dan pemuliharaan manuskrip;
  • Menjadikan projek ini sebagai model pengurusan manuskrip di peringkat serantau.


Pada sebelah petang, sesi pembentangan diteruskan dengan perkongsian inisiatif pendigitalan dan pembangunan repositori oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM yang memperlihatkan keupayaan institusi dalam membangunkan ekosistem repositori digital yang pelbagai dan berstruktur. Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk UiTM Institutional Repository, Open Access Discovery, Repositori Persuratan Jawi, Local Content Repository, Research Data Repository, serta koleksi khas seperti Khazanah Melayu, Memori Korporat Foto Universiti dan pelbagai koleksi digital lain yang menyokong akses terbuka serta perkongsian ilmu di peringkat global.


Sesi ini turut disertai oleh Pemangku Ketua Pustakawan Universiti Brunei Darussalam, Dk. Noraini binti Pg Haji Idris bersama pegawai-pegawai perpustakaan UBD, sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi tiga pihak antara UiTM, Pusat Sejarah Brunei dan Universiti Brunei Darussalam.


Delegasi UiTM seterusnya dibawa melawat Pusat Sejarah Brunei termasuk perpustakaannya bagi meninjau koleksi manuskrip serta sumber rujukan berkaitan sejarah dan kegemilangan Empayar Kesultanan Brunei. Pusat ini berperanan sebagai institusi utama dalam pemeliharaan warisan sejarah negara, dengan koleksi manuskrip yang signifikan dari segi nilai akademik, dokumentasi sejarah serta rujukan penyelidikan di peringkat Nusantara.


Dalam sesi lawatan tersebut, 
Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan turut berkesempatan memberikan panduan berkaitan pengurusan sistem perpustakaan kepada warga kerja, khususnya dalam aspek pembangunan sistem pengurusan perpustakaan berasaskan teknologi. Penekanan diberikan kepada penggunaan sistem SLiMS  dan Koha sebagai platform pengurusan perpustakaan yang efisien, stabil dan bersifat sumber terbuka (open source) bagi menyokong pengurusan koleksi secara lebih sistematik dan berkesan.


Antara warga kerja yang terlibat dalam sesi ini termasuk:

  • Tuan Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh, Pemangku Timbalan Pengetua,
  • En. Awang Mohd Syahmi bin Halimshah, Pegawai Sejarah Kanan (Ketua Perpustakaan),
  • Saudara Mohamad Norsyahmin Adillah bin Abd Latif, pelajar praktikal daripada Politeknik Brunei,
  • Puan Irma Eleena binti Hamidon, Pembantu Perpustakaan Tingkat II.


Mesyuarat dan lawatan kerja ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Brunei, khususnya dalam bidang pemeliharaan dan pendigitalan warisan manuskrip Melayu. Usaha kolaboratif ini dijangka memberi impak positif dalam memperluas akses ilmu, memperkasa penyelidikan serta memastikan kelestarian khazanah intelektual Melayu untuk generasi akan datang.


Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi UiTM sebagai Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional, dalam memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi sebagai peneraju pembangunan ilmu dan warisan bangsa

Post a Comment

Terbaru Lebih lama