Shah Alam | 29 Jun 2026 Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima kunjungan hormat daripada Professor Dato' Dr. Abu Bakar Abdul Majeed, Dekan Fakulti Farmasi UiTM yang disantuni oleh Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM.
Lawatan tersebut dimulakan dengan sesi penerangan mengenai Koleksi Khas Jawi PTAR, yang menghimpunkan pelbagai koleksi manuskrip, buku, bahan nadir serta penerbitan bertulisan Jawi yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan warisan ilmu yang tinggi. Koleksi ini merupakan antara khazanah penting universiti dalam usaha memelihara identiti serta tamadun bangsa.
Delegasi kemudiannya dibawa meninjau Pameran Mini Koleksi Keusahawanan UiTM, yang mengetengahkan pelbagai bahan rujukan berkaitan keusahawanan, inovasi, pembangunan perusahaan, kisah kejayaan alumni serta koleksi ilmiah yang menyokong ekosistem pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang keusahawanan.
Lawatan ini turut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama antara PTAR dan Fakulti Farmasi dalam memperkukuhkan akses kepada sumber maklumat, memperkaya penyelidikan akademik serta memperluaskan pemanfaatan koleksi khas kepada warga universiti.
Perpustakaan Tun Abdul Razak komited untuk terus menjadi pusat rujukan ilmu yang dinamik melalui pemeliharaan warisan intelektual, penyediaan koleksi berkualiti serta pengukuhan jaringan strategik bersama fakulti dan rakan kolaborasi demi menyokong aspirasi UiTM sebagai universiti terkemuka.

Catat Ulasan