Perpustakaan Tun Abdul Razak Undang-Undang (PTUU) terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi kolaborasi sempena penganjuran UiTM International Conference on Law & Society 2026 (UiTM i-ClaS 2026) yang berlangsung pada 13 hingga 14 Oktober 2026.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, ruang Library Community Engagement (LCE) di Aras 2 PTUU telah dimanfaatkan sebagai ruang menunggu dan persediaan (holding room) bagi tetamu kehormat sebelum menghadiri majlis perasmian persidangan di Aras 5, Institute of Business Excellence (IBE), UiTM Shah Alam.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang Amat Berbahagia Tun Datuk Seri Panglima Richard Malanjum, Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, FASc, serta Dekan FUU, Prof. Madya Dr. Nur Ezan Rahmat.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan PJI, Prof. Madya Dr. Norazlina Abdul Aziz; Timbalan Dekan HEA, Dr. Muhammad Umar Abdul Razak; Pengerusi Persatuan Alumni FUU, Encik Khalid Yusoff; serta wakil Alumni FUU, Tuan Haji Mohammad Bokhari Shariff.

Selain menyediakan kemudahan ruang untuk tetamu kehormat, PTUU turut membuka ruang perbincangan di Aras 4, Koleksi Undang-Undang, bagi menyokong pelaksanaan sesi pembentangan persidangan. Kemudahan ini mencerminkan komitmen PTUU dalam menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menyokong aktiviti akademik, perkongsian ilmu dan penyelidikan dalam bidang perundangan.

Dalam kesempatan tersebut, PTUU turut menjemput tetamu kehormat untuk menandatangani buku pelawat sebagai tanda penghargaan atas kunjungan mereka ke perpustakaan.

Kolaborasi ini memperlihatkan potensi PTUU sebagai rakan strategik fakulti dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang menyokong pelaksanaan program akademik bertaraf antarabangsa. Diharapkan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan strategik antara PTUU dengan FUU, di samping menyokong kecemerlangan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di UiTM.

Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1DkYtmcfXk/

Post a Comment

Terbaru Lebih lama