Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Shah Alam telah menganjurkan Program World #QURANHOUR Peringkat PTAR yang diadakan secara bersemuka dan atas talian menggunakan platform Google Meet. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tazkirah PTAR seterusnya bacaan Surah Al-Mulk telah dipimpin oleh Ustaz Dr. Azri Bhari (Pensyarah Kanan ACIS). Turut hadir, YBrs. Ts. Noor Hidayat bin Adnan, Ketua Pustakawan dan Pengurusan Kanan serta warga PTAR UiTM Shah Alam. Ustaz Dr. Azri Bhari turut mengupas lebih lanjut mengenai Surah Al-Mulk. Semoga perkongsian ilmu kali ini dapat memberi manfaat kepada para peserta.

Ayat pertama surah Al Mulk ini dimulai dengan lafaz ‘tabaraka’ (daripada perkataan ‘baraka’) yang disandarkan kepada Allah. Ia bermaksud membesarkan dan meninggikan zat Allah mengatasi selainNya. Dialah Tuhan Yang Maha Berkat di mana keberkatan atau kebaikan-Nya sangat banyak, semakin bertambah sehingga melimpah ruah dan juga berkekalan.

Ayat ini juga menjelaskan bahawa Allah SWT memiliki segala keberkatan dan kebaikan kerana Dialah yang memegang dan menguasai seluruh kerajaan dan pemerintahan di langit dan bumi, dari dunia hingga akhirat. Allah adalah raja, penguasa dan pemerintah yang mengatur, mengurus, memakmurkan dan menjaga kelangsungan alam ini. Seluruh kerajaan dan pemerintahan itu adalah hak eksklusif Allah SWT sahaja dan tiada siapa yang memilikinya selain Allah.

Penghujung ayat ini menjelaskan kesempurnaan kuasa Allah di mana Dia bukan hanya memegang pemerintahan alam ini tetapi Dia juga Maha Menentukan segala sesuatu. Allahlah yang menjadikan semua makhluk dan menetapkan hukum dan peraturan untuk mereka mengikut kehendakNya. Semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat kepada semua para peserta.










Post a Comment

Terbaru Lebih lama