5 Oktober 2022 - Rabu, Ketua Pustakawan UiTM telah mengadakan lawatan kerja ke PTAR Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah yang diringi oleh Puan Nor Azwani binti Mohamad, Timbalan Ketua Pustakawan dan Puan Nurul Aida binti Noor Azizi, Pustakawan Kanan.

Mereka telah disambut oleh Ketua Perpustakaan Cawangan Melaka, Puan Noor Hayati binti Abu Kassim dan staf perpustakaan di sana. Sesi bergambar outdoor bersama staf diadakan dan diikuti dengan tandatangan buku pelawat.


Lawatan kerja ini dimulakan dengan tayangan montaj PTAR Kampus Alor Gajah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan serta pembentangan pencapaian aktiviti perpustakaan oleh Puan Noor Hayati binti Abu Kassim. Dari sesi soal jawab bersama staf, banyak input dan cadangan yang baik telah diberikan berkaitan hal ehwal perpustakaan. Pada masa yang sama, Ketua Pustakawan juga menerangkan mengenai kepentingan dan hala tuju perpustakaan menjelang 2025.

 

Selesai sesi tersebut, mereka telah dibawa melawat persekitaran perpustakaan termasuk Unit Arkib PTAR UiTM Cawangan Melaka.


Pada sebelah petang, Ketua Pustakawan UiTM telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Rektor UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Rasdi bin Zaini. Pertemuan ini telah memberikan banyak input dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan perpustakaan kepada warga UiTM khususnya warga UiTM Cawangan Melaka. Di samping itu, ia dapat memantapkan lagi hubungan kerjasama strategik yang baik antara dua pihak bagi meningkatkan ketampakan PTAR ke peringkat yang lebih tinggi.


Seterusnya, program diteruskan dengan Taklimat Perancangan Strategik PTAR UiTM yang disampaikan oleh Puan Nor Azwani binti Mohamad di ruang santai perpustakaan.
Alhamdulillah, selesai lawatan Ketua Pustakawan UiTM di PTAR Kampus Alor Gajah. Diharap agar apa yang telah dikongsikan bersama staf dapat meningkatkan lagi komitmen perpustakaan dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama