Shah Alam, 18 Jun 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada delegasi Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diketuai oleh Puan Aimi Umaimah, Timbalan Ketua Pustakawan DBP. Lawatan ini turut disertai oleh seramai 22 orang pegawai dan staf PDM, dengan objektif untuk berkongsi ilmu serta meneroka strategi pendigitalan dan pembangunan sistem perpustakaan secara menyeluruh.
Sesi dimulakan dengan ucapan oleh Ts. Haji Azizi bin Hj Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, yang memperincikan halatuju strategik PTAR dalam mendepani cabaran masa hadapan melalui pendigitalan koleksi dan penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Penekanan diberikan terhadap komitmen PTAR sebagai institusi maklumat yang proaktif dalam menyokong ekosistem ilmu digital universiti.
Perkongsian diteruskan oleh Dr. Hajah Zalifah Awang Zakaria, Pengarah Bahagian Perpustakaan Digital, yang membentangkan amalan terbaik PTAR dalam pembangunan sistem digital perpustakaan. Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk projek automasi dalaman, sistem pengurusan repositori universiti, serta integrasi sistem pintar yang menyokong kecekapan operasi dan pengalaman pengguna.
Turut berkongsi pengalaman dan kepakaran ialah Puan Wan Izzatul Fahrah Wan Ishak dan Encik Mohd Faizal Sawardi Lokman, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem digital PTAR. Mereka menerangkan bagaimana pendekatan kolaboratif antara pustakawan, pegawai teknologi maklumat dan pihak pengurusan telah mempercepatkan transformasi digital PTAR secara berfasa dan berimpak tinggi.
Lawatan ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, malah memperkukuh hubungan strategik antara institusi dalam usaha memartabatkan dokumentasi dan warisan bangsa melalui medium digital.
PTAR terus komited sebagai peneraju dalam pembangunan perpustakaan pintar universiti yang mendukung aspirasi digital negara.
Baca lanjut: Facebook Perpustakaan UiTM
Catat Ulasan