Pada 9–10 Februari 2026, telah berlangsung Projek Muat Naik Imej Hadapan Buku ke dalam sistem PERMATA bertempat di Pusat IT, PTAR. Program ini merupakan inisiatif kolaboratif bersama Sukarelawan PTAR yang merupakan pelajar-pelajar daripada Fakulti Sains Maklumat, UiTM Kampus Rembau, Negeri Sembilan.
Projek yang berlangsung selama dua hari ini bertujuan memastikan setiap koleksi perpustakaan dilengkapi dengan imej kulit buku bagi tujuan paparan visual yang lebih menarik, mesra pengguna, dan mudah dikenal pasti. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan minat membaca, memudahkan proses pencarian bahan, serta menyokong aktiviti pembelajaran dan penyelidikan dalam kalangan warga UiTM.
Sebanyak 517 rekod buku berjaya dikemas kini dengan imej kulit buku dalam sistem. Projek ini dikendalikan oleh Unit Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, dengan sesi taklimat disampaikan oleh En. Mohd Ismail Abidin, Ketua Unit, bersama Puan Siti Rohayu, Ketua Seksyen.
PTAR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para sukarelawan yang terlibat:
🔹Muhammad Sazaril bin Shahrul Hidayat
🔹Muhammad Syukri bin Alfian
🔹Mohamad Asyraf bin Mohd Razali
🔹Anis Natasha binti Sharuddin
🔹Muhammad Irfan bin Zakariah
🔹Tariq Harziq bin Abdul Rahman
🔹Mohd Khairul Idzwan bin Mohd Saad
Selain itu, para sukarelawan turut diberikan pendedahan asas mengenai pengurusan metadata berasaskan RDA (Resource Description and Access). Sesi taklimat tersebut disampaikan oleh Puan Jaz Norfazuna binti Jaafar, Ketua Seksyen Rekod dan Bibliografik.
Pendedahan ini bertujuan memberi pengalaman sebenar dalam bidang pengurusan maklumat, sekali gus membantu pelajar memahami peranan pustakawan serta keperluan teknikal dalam pengurusan koleksi digital sebagai persediaan untuk kerjaya masa hadapan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen PTAR dalam memperkasa kolaborasi bersama pelajar serta meningkatkan kualiti paparan koleksi perpustakaan melalui pendekatan yang lebih visual, interaktif, dan mesra pengguna.
PTAR turut mengalu-alukan pelajar UiTM yang berminat untuk menyertai program sukarelawan perpustakaan, dengan peluang berkhidmat di rangkaian 39 perpustakaan UiTM di seluruh Malaysia.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama