Shah Alam, 6 Mac 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh pembudayaan ilmu dalam kalangan warga universiti melalui penganjuran Majlis Peluncuran Program Talaqqi Kerohanian anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) bersama Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) yang berlangsung di Ruang Telaah, PTAR UiTM Shah Alam.
Program dimulakan dengan sesi Talaqqi Kerohanian yang disampaikan oleh Dr. Syed Shahridzan Syed Mohamed, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), yang membawakan tajuk “Jaga Perut dan Jaga Lidah.” Perkongsian beliau menekankan kepentingan menjaga pemakanan yang halal dan baik serta mengawal pertuturan sebagai asas pembentukan akhlak dan kesejahteraan rohani seorang Muslim.
Majlis turut diserikan dengan bacaan Qiraat oleh Dr. Ahmad Azlan Raihan, Pensyarah Kanan ACIS, yang mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan penuh penghayatan, sekali gus menambahkan suasana ketenangan dan keberkatan sepanjang program berlangsung.
Majlis disusuli dengan ucapan aluan oleh YBrs. Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa perpustakaan bukan sahaja berperanan sebagai pusat sumber akademik, malah turut menjadi wadah penting dalam memperkasa pembudayaan ilmu yang holistik merangkumi aspek intelektual, nilai dan kerohanian dalam kalangan warga universiti.
Menurut beliau, Program Talaqqi Kerohanian ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan menghidupkan kembali tradisi pengajian ilmu Islam secara talaqqi, iaitu kaedah pembelajaran secara langsung antara guru dan penuntut ilmu yang menekankan keberkatan ilmu, adab serta penghayatan nilai-nilai murni.
Majlis peluncuran program tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc, Naib Canselor UiTM, sebagai simbolik permulaan kepada pelaksanaan siri pengajian kerohanian yang akan dianjurkan secara berkala oleh Perpustakaan UiTM.
Selesai simbolik perasmian, majlis turut menyaksikan sesi penyerahan sebuah manuskrip Jawi oleh Saudara Muhamad Nur Aiman bin Mohd Zuki kepada Naib Canselor UiTM sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap usaha pemeliharaan khazanah warisan tulisan Jawi. Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama dalam memartabatkan warisan intelektual Melayu serta memperkaya koleksi khazanah ilmu di Perpustakaan UiTM.
Program ini turut disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan YouTube Perpustakaan UiTM, membolehkan warga universiti serta masyarakat umum mengikuti pengisian ilmu tersebut secara dalam talian.
Penganjuran Program Talaqqi Kerohanian ini mencerminkan komitmen berterusan Perpustakaan UiTM dan ACIS dalam menyemarakkan pembudayaan ilmu dunia dan akhirat, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi kecemerlangan akademik, sahsiah dan spiritual.
Melalui inisiatif seperti ini, Perpustakaan UiTM terus memperkukuh peranannya sebagai “Vibrant Centre of Learning” yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, pemikiran dan nilai dalam ekosistem universiti.
Baca Lanjut: https://www.facebook.com/share/p/188pg2WM5y/

Catat Ulasan