1 April 2026 | Brunei Darussalam, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan lawatan kerja ke Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei serta Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) sempena jemputan Pusat Sejarah Brunei bagi Kolaborasi Pendigitalan dan Deskripsi Manuskrip Melayu Nusantara yang dijadualkan berlangsung di Pusat Sejarah Brunei pada 2 April 2026.
Delegasi UiTM yang diketuai oleh Ketua Pustakawan, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan bersama En. Mohd Ismail bin Abidin telah melaksanakan lawatan ini sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antarabangsa serta memperluas perkongsian kepakaran dalam bidang pengurusan perpustakaan, tadbir urus institusi, dan pemeliharaan koleksi warisan. Lawatan ini turut memberi tumpuan kepada penerokaan potensi kerjasama dalam pendigitalan manuskrip, pembangunan repositori digital dan pengurusan sumber ilmu berasaskan teknologi.
Lawatan dimulakan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei, di mana delegasi UiTM telah disambut oleh Puan Fatin Nuramalina binti Haji Muhd. Syafi’e Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat I dan Pengiran Serimohayatun binti Pengiran Haji Metussin Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat II. Delegasi kemudiannya dibawa meninjau kemudahan perpustakaan serta mengikuti sesi perkongsian dan pertukaran pandangan berkaitan pengurusan perkhidmatan perpustakaan, termasuk keperluan memperkukuh transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan maklumat kepada masyarakat.
Dalam sesi tersebut, Ketua Pustakawan UiTM telah berkongsi amalan tadbir urus Perpustakaan Tun Abdul Razak yang menekankan pembangunan ekosistem perkhidmatan digital, pengukuhan repositori institusi serta penyediaan akses maklumat secara terbuka, tersusun dan mampan bagi menyokong keperluan pembelajaran dan penyelidikan masa kini.
Delegasi seterusnya meneruskan lawatan ke Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) disambut oleh Pemangku Ketua Pustakawan, Dk. Noraini binti Pg Haji Idris & Pustakawan Kanan, Haji Ahmad Nabil bin Haji Sulaiman.
Sesi perbincangan tertumpu kepada perkongsian kepakaran, amalan tadbir urus terbaik serta pembangunan perkhidmatan perpustakaan digital dalam menyokong ekosistem akademik dan penyelidikan yang dinamik.
Dalam pertemuan tersebut, Ketua Pustakawan UiTM turut memperkenalkan pendekatan strategik perpustakaan UiTM yang berteraskan nilai Malaysia MADANI, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. Nilai-nilai ini diterjemahkan dalam pembangunan perkhidmatan perpustakaan sebagai usaha membentuk ekosistem ilmu yang holistik, seimbang antara pembangunan intelektual, sosial dan nilai kemanusiaan.
Selari dengan itu, perpustakaan UiTM turut menekankan kepentingan adab dalam menuntut ilmu, berasaskan prinsip “Adab dahulu, baru ilmu”. Pendekatan ini memberi penekanan kepada pembentukan pengguna yang berilmu dan berakhlak, berdisiplin serta menghormati ilmu sebagai asas pembinaan masyarakat berbudaya ilmu. Perpustakaan dilihat bukan sekadar sebagai pusat sumber, tetapi sebagai ruang pembinaan sahsiah dan nilai insan.
Selain sesi profesional, delegasi UiTM turut dibawa melawat beberapa lokasi ikonik di Brunei Darussalam termasuk Masjid Hassanil Bolkiah, Istana Nurul Iman dan Royal Regalia Building sebagai sebahagian daripada pengisian sosio-budaya yang memperkayakan pengalaman serta kefahaman terhadap warisan dan identiti negara. Lawatan sosio Budaya ke Muzium dan Masjid di bawa oleh En Md Alif bin Hj Nordin, Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat 1, Perpustakaan University Brunei Darussalam.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta memperluas peranan perpustakaan sebagai pemangkin perkongsian ilmu dan pemeliharaan warisan. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi PTAR dalam membudayakan ilmu sebagai asas pembentukan masyarakat berpengetahuan, sejajar dengan gagasan “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa.”
Baca lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1FwavHBWK7/



Catat Ulasan