Emerald Conference 2026: Libraries Reimagined – Artificial Intelligence, Innovation & Impact merupakan platform yang menghimpunkan pustakawan, akademik, penyelidik dan penerbit bagi membincangkan transformasi perpustakaan dalam era kecerdasan buatan (AI), inovasi digital dan impaknya terhadap pendidikan tinggi. Persidangan yang berlangsung pada 12 Mei 2026 di Pullman Kuala Lumpur City Centre ini telah dihadiri oleh Dr. Adlina binti Abdullah sebagai wakil Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sepanjang persidangan, pelbagai sesi perkongsian telah diketengahkan berkaitan penerapan AI dalam perkhidmatan perpustakaan, pengurusan sumber digital, sokongan penyelidikan, penerbitan ilmiah dan analitik data. Perbincangan yang berlangsung memberikan gambaran jelas tentang peranan perpustakaan masa hadapan yang semakin berorientasikan teknologi, data dan keperluan pengguna. Antara perkara yang ditekankan adalah keperluan perpustakaan untuk mengadaptasi teknologi AI secara strategik bagi meningkatkan pengalaman pengguna, memperkukuh sokongan penyelidikan serta memperluaskan akses kepada sumber ilmu.
Kemuncak persidangan adalah majlis penyampaian Emerald Awards 2026 yang mengiktiraf pencapaian cemerlang institusi dan penyelidik dalam bidang penerbitan ilmiah. Dalam majlis tersebut, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima tiga pengiktirafan yang membanggakan hasil pencapaian penyelidikan dan penerbitan warga universiti, iaitu:
- High Usage Award 2026 - 6th place in Top 20 Worldwide),
- High Usage Award 2026 ( 1st place in Malaysia Public Institutions Category),
- High Research Output Award (4th place in Malaysia)
Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan yang signifikan kepada UiTM dan PTAR dalam usaha memperkukuhkan budaya penyelidikan serta meningkatkan impak penerbitan ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kejayaan tersebut turut mencerminkan peranan strategik PTAR dalam menyokong ekosistem penyelidikan universiti melalui penyediaan akses kepada sumber maklumat berkualiti, perkhidmatan sokongan penerbitan, pengurusan repositori institusi dan program peningkatan literasi penyelidikan.
Penyertaan Dr. Adlina ABdullah dalam persidangan ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada trend dan teknologi terkini dalam bidang perpustakaan, malah turut menyaksikan sendiri pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh PTAR dan UiTM. Pengalaman tersebut dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh inisiatif transformasi digital perpustakaan, memperluaskan penggunaan AI dalam perkhidmatan maklumat serta meningkatkan sokongan kepada aktiviti penyelidikan dan penerbitan universiti.
Secara keseluruhannya, Emerald Conference 2026 telah menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu, jaringan profesional dan pemindahan amalan terbaik, di samping mengangkat nama PTAR dan UiTM melalui pencapaian cemerlang dalam Emerald Awards 2026.


Catat Ulasan